Am 15/09/2026 01:29 PM

MAHF Kembali Dalam MOM, Jangka Hutang Tertunggak Selesai Dalam Tempoh Dua Tahun

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MAHF Kembali Dalam MOM, Jangka Hutang Tertunggak Selesai Dalam Tempoh Dua Tahun
Presiden MAHF Datuk Pandak Ahmad

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

ISKANDAR PUTERI, 15 Sept (Bernama) -- Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) menjangkakan tunggakan hutang pengurusan terdahulu dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun melalui pembayaran secara ansuran.

Presiden MAHF Datuk Pandak Ahmad berkata pembayaran ansuran itu diputuskan selepas berunding dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, selaras dengan penerimaan kembali MAHF sebagai ahli badan induk MOM pada Oktober tahun lepas.

“Sejak Oktober lepas kami membayar RM3,000 setiap bulan dan kami menjangkakan baki keseluruhan tunggakan selesai dalam tempoh dua tahun,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai status tunggakan serta keahlian MAHF dalam MOM.

Pada 2021, MAHF digugurkan sebagai ahli gabungan MOM susulan hutang tertunggak berjumlah RM133,000 yang merangkumi perbelanjaan dan kos penyertaan atlet bola baling pada Sukan Asia Indonesia 2018.

Mohamad Norza sebelum ini dilaporkan berkata MOM mempertimbangkan untuk menarik semula penggantungan yang dikenakan terhadap persatuan itu bagi membenarkan atlet dan pegawai mereka menyertai Sukan SEA Thailand pada penghujung 2025.

Beliau berkata sudah tiba masanya sukan bola baling kembali ke arus perdana dan memastikan atlet serta pegawai tidak menjadi mangsa kepada kemelut yang melanda persatuan sebelum ini.

Sementara itu, Pandak berkata pasukan bola baling lelaki dan wanita negara bakal beraksi pada kejohanan Persekutuan Bola Baling Antarabangsa (IHF) di Chonburi, Thailand pada Oktober ini.

Beliau berkata dua skuad yang terdiri daripada 14 pemain itu diyakini mampu memberikan saingan dengan sasaran kedudukan podium.

“Mereka sudah mula berlatih. Pasukan negara ini di bawah UiTM Shah Alam dan mereka dalam kalangan pemain Sukan Universiti ASEAN (AUG),” katanya.

Skuad bola baling lelaki merangkul pingat emas pada AUG 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia.

-- BERNAMA