Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 16 Sept (Bernama) -- Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan purata tahunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.3 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2035, menurut laporan bertajuk “From Tailwinds to Trade-Offs: Southeast Asia Outlook 2026-2035” yang dikeluarkan hari ini.
Laporan edisi ketiga oleh firma kewangan Bain & Company, DBS Bank dan Vriens & Partners itu menyatakan unjuran pertumbuhan berkenaan akan disokong kedudukan perdagangan yang kukuh, selain potensi peningkatan daripada sektor semikonduktor, pusat data dan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Ia turut berkata enam ekonomi terbesar Asia Tenggara (SEA-6) dijangka berkembang pada kadar purata 4.8 peratus setahun antara 2026 dan 2035.
SEA-6 terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
“Pertumbuhan itu akan disokong oleh pelaburan asing dan pembentukan modal yang mampan, perindustrian serta pembangunan infrastruktur yang berterusan, selain peningkatan produktiviti hasil penggunaan teknologi.
“Penggunaan domestik yang berdaya tahan serta demografi yang menggalakkan di beberapa ekonomi terbesar rantau ini juga akan memberikan dorongan tambahan,” kata ketiga-tiga syarikat itu dalam kenyataan bersama.
Laporan itu turut menyebut bahawa situasi global akan menentukan ruang pertumbuhan rantau ini dalam tempoh sedekad akan datang, manakala pilihan dasar dalam jangka pendek akan menentukan prestasi setiap ekonomi dalam ruang tersebut.
Sehubungan dengan itu, negara-negara perlu memberi tumpuan kepada keutamaan domestik yang berbeza, namun prospek mereka kekal saling berkait rapat menerusi perdagangan, pelaburan, rantaian bekalan, tenaga dan teknologi, katanya.
Laporan tersebut juga menekankan kedudukan Singapura yang kekal sebagai ekonomi paling berdaya tahan di rantau ini, disokong statusnya sebagai tempat perlindungan selamat, pasaran yang mendalam, penampan fiskal serta kredibiliti sebagai hab yang dipercayai.
Kedudukannya sebagai pusat modal serantau turut memudahkan peluang pelaburan dan perniagaan di seluruh Asia Tenggara.
Republik itu menarik lebih 60 peratus pelaburan langsung asing (FDI) di rantau ini dan merupakan hab modal serantau ASEAN, selain menjadi sumber FDI terbesar ke Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam.
“Peranan dua hala ini membolehkan Singapura menghubungkan modal dan keupayaan global dengan perniagaan serta peluang di seluruh Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan kesalingbergantungan antara kejayaannya dengan kejayaan rantau ini secara lebih meluas.
“Kekangan utamanya ialah kebergantungan terhadap tenaga dan faktor demografi; mengekalkan pertumbuhan memerlukan usaha berterusan untuk menarik bakat serta penyebaran manfaat peningkatan produktiviti berasaskan AI secara meluas merentasi ekonomi,” kata kenyataan itu.
-- BERNAMA