KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Hari Malaysia mengingatkan bahawa negara dibina atas suatu waad atau ikatan antara pemerintah dengan rakyat, antara wilayah dengan Persekutuan dan antara kesetiaan dengan keadilan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook bersempena dengan sambutan Hari Malaysia hari ini, beliau berkata 16 Sept adalah iltizam atau janji yang mesti sentiasa diperbaharui bahawa tiada wilayah dianggap terpinggir atau pinggiran, tiada kaum berasa terasing dan tiada rakyat tercicir daripada arus kemajuan.
Bagaimanapun, Anwar berkata harus diakui bahawa ada ketika perjalanan negara menyimpang, apabila soal kaum diperalat, jurang wilayah dibiarkan melebar dan perbezaan dijadikan tembok dan garis pemisah.
“Laut boleh memisahkan kita tapi tidak cita-cita dan harapan kenegaraan. Selamat Hari Malaysia!," kata beliau.
-- BERNAMA