Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
MALÉ (Maldives), 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi penuh istiadat di sini, menandakan permulaan program rasmi beliau bersempena dengan lawatan dua hari ke Maldives.
Anwar tiba di Jeti Presiden, Jeti Izzudheen, di sini pada 9.29 pagi waktu tempatan (12.29 tengah hari waktu Malaysia) dan disambut oleh Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu dan dipersembahkan dengan tarian kebudayaan oleh murid sekolah.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu diiringi oleh Menteri Hal Ehwal Islam Maldives Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed, selaku menteri pengiring sepanjang lawatan berkenaan.
Yang turut hadir pada majlis sambutan rasmi itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.
Anwar kemudian diiringi ke pentas utama untuk menerima tabik hormat daripada Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF), disusuli dengan 21 das tembakan meriam.
Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, kemudian dimainkan diikuti dengan lagu kebangsaan Maldives sebelum Anwar memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota MNDF.
Perdana Menteri seterusnya kembali ke pentas utama untuk menerima tabik hormat kedua sebelum beliau dan Muizzu diperkenalkan kepada ahli kedua-dua delegasi.
Dua pemimpin berkenaan kemudian berjalan kira-kira 150 meter dari Dataran Republik ke Pejabat Presiden dalam perarakan kebudayaan yang diiringi paluan gendang serta peserta perarakan mengenakan pakaian tradisional Maldives.
Di Pejabat Presiden, Anwar dan Muizzu dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala untuk membincangkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia–Maldives dan bertukar-tukar pandangan tentang isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin itu juga dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) sebelum mengadakan sidang media bersama.
Lawatan berkenaan mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sejak 1968, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat.
-- BERNAMA