Am 15/09/2026 02:44 PM

KPDN Tumpas Cubaan Seleweng 2,400 Liter Diesel Di Senai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPDN Tumpas Cubaan Seleweng 2,400 Liter Diesel Di Senai
Kredit: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor

JOHOR BAHRU, 15 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggagalkan cubaan menyeleweng 2,400 liter diesel menerusi Ops Tiris 4.0 di sebuah stesen minyak di Jalan Seelong, Senai, kira-kira 2 petang semalam.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo dalam kenyataan berkata operasi dijalankan hasil maklumat dan risikan berkaitan kegiatan pembelian diesel yang disyaki melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan sebuah lori dalam keadaan sedang mengisi bahan api itu terus ke tangki simpanan.

“Pasukan penguat kuasa menahan dan menyita lori terbabit, empat unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC), sebuah mesin pengukur aliran, empat pam berserta hos, dua telefon bimbit serta cecair disyaki diesel kira-kira 2,400 liter.

“KPDN turut menyita 15 fleet card serta lima salinan resit atau invois berkaitan pembelian bahan api itu bagi membantu siasatan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan modus operandi kes,” katanya.

Selain itu, beliau berkata dua lelaki berumur lingkungan 30-an yang berada di dalam lori berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan dan semakan dokumen juga mendapati pengusaha stesen minyak itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Beliau berkata nilai keseluruhan barangan yang disita dianggarkan RM60,660 dan kes turut disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA