Am 15/09/2026 02:34 PM

Anwar, Muizzu Adakan Pertemuan Perkukuh Hubungan Malaysia–Maldives

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anwar, Muizzu Adakan Pertemuan Perkukuh Hubungan Malaysia–Maldives

Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

MALÉ (MALDIVES), 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu mengadakan perbincangan di sini, hari ini bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan Maldives.

Kedua-dua pemimpin berkenaan memulakan perbincangan menerusi pertemuan empat mata yang berlangsung kira-kira 20 minit di Pejabat Presiden, sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam rundingan dua hala.

Pertemuan tertutup itu memberikan peluang kepada Anwar dan Muizzu berinteraksi secara langsung tentang hubungan Malaysia–Maldives dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Rundingan dua hala selepas itu pula menumpukan usaha memperkukuh kerjasama sedia ada dan meneroka peluang baharu untuk mempererat hubungan antara dua negara.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.

Terdahulu, Anwar tiba di Jeti Presiden, Izzudheen Faalan, pada 9.29 pagi waktu tempatan dalam keadaan hujan renyai sebelum menerima sambutan rasmi penuh istiadat, termasuk 21 das tembakan meriam oleh Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF) serta pemeriksaan kawalan kehormatan.

Anwar dan Muizzu juga dijadualkan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU), disusuli dengan sidang akhbar bersama.

Malaysia dan Maldives menjalin hubungan diplomatik pada 1968, dengan kedua-dua negara terus memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat.

-- BERNAMA