GUA MUSANG, 15 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan ibu bapa membawa anak mereka menjalani program saringan bagi mengesan lebih awal masalah pembelajaran termasuk autisme, spektrum autisme serta gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata program saringan itu penting bagi membolehkan intervensi dan sokongan bersesuaian diberikan kepada kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah pembelajaran.
“Hari ini, kami hadir untuk melihat bagaimana persiapan intervensi yang KPM lakukan untuk mengesan awal anak-anak yang berhadapan dengan masalah pembelajaran.
“Autisme, spektrum autisme, ADHD dan sebagainya dapat dikesan melalui program saringan ini. Program saringan ini sangat penting,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 Tahun 2026 di SK Gua Musang di sini hari ini.
Beliau berkata ibu bapa yang melihat perkembangan anak mereka sedikit lambat atau berhadapan masalah pembelajaran yang tidak dapat dikenal pasti sendiri, digalakkan mendapatkan pengesanan bersama pakar yang disediakan KPM.
“Kami mohon untuk datang ke Kementerian Pendidikan dan kami boleh lakukan pengesanan itu bersama dengan pakar-pakar yang kami ada. Perkhidmatan berkenaan termasuk terapi pertuturan dan penilaian oleh ahli psikologi bagi melihat perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan.
“Jadi, ada terapi pertuturan, maknanya ada ahli psikologi yang akan melihat secara keseluruhan perkembangan anak-anak ini dan memberikan pedoman serta saranan kepada ibu bapa untuk melaksanakan proses pembelajaran selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata penglibatan ibu bapa amat penting kerana perkhidmatan saringan berkenaan disediakan secara percuma oleh kerajaan.
“Oleh itu, kami jemput semua ibu bapa untuk sama-sama melaksanakan saringan ini supaya anak-anak kita ini terus diberikan sokongan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM memberikan perhatian terhadap penguasaan literasi dan numerasi murid yang diperkukuhkan di pelbagai peringkat melalui intervensi serta sokongan guru dan ibu bapa.
“Kami tidak guna perkataan buta huruf. Kami guna perkataan penguasaan literasi dan numerasi yang diperkukuhkan di pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu turut melibatkan anak-anak Orang Asli bagi memastikan mereka tidak terus tercicir serta diberikan keutamaan dan perhatian dalam pendidikan.
-- BERNAMA