Am 15/09/2026 01:00 PM

Enam Kertas Kerja Terbaik NEXT-D 2026 Akan Diterbitkan Dalam Jurnal Berindeks Terkemuka

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Enam Kertas Kerja Terbaik NEXT-D 2026 Akan Diterbitkan Dalam Jurnal Berindeks Terkemuka

Daripada Nurrul Huda Ahmad Lutfi

MEDAN, 15 Sept (Bernama) -- Sebanyak enam kertas kerja terbaik daripada 36 kertas kerja yang dibentangkan pada penganjuran Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi Digital Generasi Baharu (NEXT-D) 2026 akan diterbitkan dalam jurnal berindeks terkemuka Scopus dan Web of Science (WoS).

Pengerusi Eksekutif Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata kertas kerja berkaitan bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) itu nanti boleh dirujuk pakar akademia serta pihak industri pada masa hadapan.

"Kesimpulan kita dapat bahawa AI ini sangat penting, AI bukan hanya kita belajar untuk memudahkan kita dapatkan maklumat dan sebagainya, tetapi ia telah menjadi satu ekosistem yang akan merubah cara kehidupan, terutama anak-anak kita belajar di universiti dan sekolah.

"Ini juga tidak ketinggalan kepada komuniti dan juga pemerintah politik dan sebagainya, jadi bagi pihak FCoEE telah mencari tajuk yang memberikan impak kepada bidang disiplin yang tinggi dan kita dapat menghasilkan beberapa kertas kerja berimpak yang cukup hebat," katanya ketika ditemui media Malaysia di sini malam tadi.

NEXT-D dianjurkan oleh FCoEE bersama Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) yang berlangsung di universiti itu di sini dari 12 Sept hingga semalam, dengan majlis penutupan pada 13 Sept itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Penganjuran NEXT-D bertemakan Transforming The Digital Landscape With Emerging Technologies itu menghimpunkan lebih 200 pakar global, ahli akademik dan penggiat industri dari pelbagai negara.

NEXT-D 2026 memfokuskan peranan teknologi termaju dalam membentuk serta memacu transformasi landskap digital global, di samping menjadi wadah perkongsian ilmu, penyelidikan dan kepakaran antara akademia, industri serta pihak berkepentingan.

-- BERNAMA