ALOR SETAR, 15 Sept (Bernama) -- Empat warga China terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menculik seorang wanita senegara pada bulan lepas.
Huang Jian, 39, Wang Hao Yu, 33, Guan Siqi, 24, dan Liu Tingjun, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama seorang lagi individu yang telah dituduh sebelum ini didakwa menculik Xiong Xi Qiao, 33, dengan niat supaya mangsa dikurung secara rahsia dan salah di sebuah rumah di Taman Amira, Jalan Langgar, di sini pada 8.40 malam, 7 Ogos lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien, manakala Guan Siqi diwakili peguam S. Suresh dan tiga lagi tertuduh diwakili peguam Jodia Poh Yi Tying.
Pihak pendakwaan memohon tiada jaminan ditawarkan kerana keempat-empat tertuduh warga China dan berisiko melarikan diri, manakala kedua-dua peguam juga tidak merayu untuk jaminan.
Mahkamah kemudian memutuskan tiada jaminan dibenarkan terhadap mereka dan menetapkan 11 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Pada 10 Sept lepas, seorang warga China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
-- BERNAMA