Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Harga minyak terus melonjak, meningkat lebih tiga peratus kepada US$108 setong pada Isnin berikutan serangan terbaharu pada hujung minggu terhadap infrastruktur tenaga Arab Saudi yang menyebabkan saluran paip minyak East-West ditutup sementara.
Turut dilaporkan bahawa rundingan Oman-Iran mengenai Selat Hormuz ditangguhkan, manakala sebuah kapal komersial Iran diserang di Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak dan memberi tekanan kepada harga komoditi itu.
Penanda aras global minyak mentah Brent meningkat 3.53 peratus kepada US$108.30 setong setakat laporan ini ditulis.
Saluran paip minyak East-West sepanjang 1,200 kilometer merentasi Semenanjung Arab, membolehkan Arab Saudi mengelakkan Selat Hormuz dan menyalurkan semula eksportnya, manakala gangguan terhadap operasi saluran itu berpotensi menjejaskan sehingga empat peratus bekalan minyak global.
Naib Presiden Pasaran Komoditi (Minyak) Rystad Energy Janiv Shah berkata kenaikan harga kepada US$108 setong merupakan isyarat jelas bahawa pasaran semakin mengambil kira kemungkinan kehilangan bekalan yang ketara.
“Konflik lebih meluas di Asia Barat sudah menyebabkan premium terhadap minyak mentah, manakala kehilangan saluran paip East-West Arab Saudi menambah satu lagi kekangan utama.
“Reaksi harga yang agak terkawal menunjukkan pasaran masih menjangka inventori Arab Saudi dapat menampung eksport dalam tempoh terdekat, tetapi jika gangguan berlanjutan melebihi tempoh penampan inventori lima hingga tujuh hari, keadaan itu boleh berubah dengan pantas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata bekalan kini menjadi komoditi yang semakin bernilai dan tanpa kejelasan lebih lanjut mengenai sumber bekalan gantian, Rystad Energy tidak menolak kemungkinan harga terus meningkat dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata hasil eksport petroleum Malaysia mungkin meningkat, namun manfaat itu boleh terhakis atau diimbangi oleh peningkatan kos tenaga, pengangkutan dan logistik import susulan lonjakan harga minyak.
Beliau berkata Malaysia akan mendapat manfaat daripada peningkatan hasil eksport tenaga, namun kejutan lebih meluas itu boleh meningkatkan kos operasi domestik, melemahkan permintaan serantau dan mengganggu perdagangan.
“Hala tuju seterusnya bergantung pada tempoh gangguan operasi di Arab Saudi, sama ada perkapalan melalui Selat Hormuz kembali normal, skala sebenar kehilangan pengeluaran, ketersediaan kapasiti lebihan dan sama ada rizab strategik dikeluarkan.
“Saya menjangkakan harga minyak kekal tinggi dan tidak menentu dalam tempoh terdekat, namun saya melihat US$100 sebagai paras risiko dan bukannya menganggapnya sebagai norma baharu pasaran,” katanya.
-- BERNAMA