Am 14/09/2026 11:04 PM

MBPP Guna Jentera Khas Alih Kenderaan Tersadai Di Parkir Awam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MBPP Guna Jentera Khas Alih Kenderaan Tersadai Di Parkir Awam

GEORGE TOWN, 14 Sept (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggunakan jentera khas Multi Purpose Loader with Crane untuk mengangkat dan mengalihkan kenderaan terbiar tanpa tayar atau tersadai yang mengganggu penggunaan petak parkir awam.

Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran berkata jentera itu khusus bagi memudahkan kerja mengalihkan kenderaan terbiar terutama kenderaan yang tidak dapat dialihkan dengan selamat menggunakan trak tunda konvensional.

“Jentera ini tidak digunakan secara rutin untuk kes parkir haram atau kenderaan yang menghalang lalu lintas kerana MBPP mempunyai kenderaan penguatkuasaan lain khusus bagi operasi menunda kenderaan,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Rajendran berkata jentera itu juga boleh digunakan bagi kerja lain yang memerlukan pengalihan objek berat milik pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk penghadang konkrit.

Jentera khas itu mendapat perhatian selepas penggunaannya tular di media sosial dan mendapat reaksi positif orang ramai terhadap usaha MBPP menangani isu kenderaan terbiar.

Video berdurasi 3.28 minit itu memaparkan sebuah jentera khas mengalihkan sebuah kereta di kawasan parkir ke atas jentera tersebut sebelum dibawa ke lokasi lain bagi mengosongkan kawasan petak parkir awam.

-- BERNAMA