Am 14/09/2026 11:36 PM

PM Anwar Gesa Kerjasama Malaysia-Keralam Diperkukuh, Gabenor Hadiahkan Biografi Kishore Kumar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PM Anwar Gesa Kerjasama Malaysia-Keralam Diperkukuh, Gabenor Hadiahkan Biografi Kishore Kumar

Daripada Ratcharathan A/l Rawe Shanggar

KERALAM (INDIA), 14 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa agar kerjasama antara Malaysia dan Keralam diperkukuh dalam sektor-sektor utama termasuk ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan serta pendidikan.

Beliau berkata hubungan yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Keralam merangkumi perdagangan, pendidikan dan pertukaran budaya menyediakan asas kukuh untuk terus memperluas kerjasama.

Anwar berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Gabenor Keralam Governor Rajendra Vishwanath Arlekar di Calicut di sini.

Perdana Menteri berkata terdapat juga potensi untuk terus memperluas sektor pelancongan, perniagaan serta pertukaran antara rakyat Malaysia dan Keralam.

“Malaysia turut mengalu-alukan kerjasama lebih erat dalam sektor bernilai tinggi yang mampu mewujudkan peluang baharu dan membawa manfaat bersama kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Terdahulu, Arlekar menghadiahi Anwar biografi Kishore Kumar selepas Perdana Menteri menyanyikan lagu legenda penyanyi latar India itu pada majlis makan malam gala BRICS di New Delhi tular baru-baru ini.

Aksi Anwar menyanyikan lagu klasik Kishore Kumar bertajuk “Khwab Ho Tum Ya Koi Haqeeqat” tular di media sosial terutama di India, dan mendapat reaksi positif daripada ramai rakyat negara berkenaan.

Video berdurasi seminit 32 saat yang memaparkan Perdana Menteri menyanyikan lagu Hindi popular tersebut mendapat perhatian meluas, dengan sesetengah pihak menyifatkannya sebagai momen “mic drop” yang mencuri tumpuan pada sidang kemuncak berkenaan manakala yang lain menggelarnya sebagai “detik paling manis” pada perhimpunan itu.

Menteri Industri dan Perdagangan P.K Kunhalikutty serta beberapa tokoh industri turut menyertai kunjungan hormat itu.

Pertemuan dengan Arlekar adalah sebahagian daripada program Anwar sepanjang lawatan beliau ke Keralam selepas menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi.

Anwar berada di India dari 11 hingga 14 Sept atas jemputan Perdana Menteri Narendra Modi.

-- BERNAMA