JAKARTA, 14 Sept (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lapan individu termasuk lima petugas media yang dilaporkan hilang ketika membuat liputan letusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda dilanjutkan tiga hari lagi selepas usaha pencarian selama seminggu belum membuahkan hasil.
Ketua Pejabat SAR Banten Al Amrad berkata keputusan itu dibuat mengambil kira hasil penilaian semula kawasan pencarian serta data pergerakan arus dan keadaan perairan.
“Usul atau permintaan untuk melanjutkan waktu operasi ini juga selepas kami berdialog dan berbincang dengan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lima petugas media berkenaan ialah Muhammad Bagus Khoirunnas daripada agensi berita nasional Indonesia Antara, Arie Basuki (Merdeka.com), Yudistiro Pranoto (iNews), Firdaus Wajidi (Anadolu Ajansi) dan wartawan bebas Donal Husni, selain kapten bot, Warta, anak kapal, Surakman, dan pemandu pelancong, Heriyanto.
Mereka terputus hubungan sejak Isnin ketika membuat liputan letusan gunung berapi itu di sekitar Pulau Sebesi, Lampung, di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Pulau Sumatera.
Al Amrad berkata operasi pencarian akan terus menggunakan kapal dan helikopter, namun harus bergantung kepada keadaan cuaca dan jarak penglihatan.
Beliau berkata keadaan kabus tebal menjadi cabaran utama operasi sejak beberapa hari lepas, termasuk menghalang penerbangan helikopter yang sudah bersedia untuk menjalankan pemantauan udara.
Setakat ini, katanya pasukan SAR juga belum dapat menentukan lokasi tepat keberadaan bot laju yang dipercayai dinaiki mangsa.
-- BERNAMA