Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 14 Sept (Bernama) -- Mercedes-Benz Malaysia pada Isnin memperkenalkan model serba baharu Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line untuk pasaran Malaysia yang akan melibatkan pemasangan tempatan di Pekan, Pahang.
Syarikat itu turut memperkenalkan Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC elektrik serba baharu ke pasaran Malaysia, yang menampilkan semula model terlarisnya di peringkat global dengan menggunakan seni bina kenderaan elektrik (EV) yang dibangunkan khas.
CLA 200 AMG Line menggunakan rangkaian kuasa enjin pembakaran dalaman (ICE) sebagai pelengkap kepada model CLA elektrik serba baharu yang dilancarkan baru-baru ini sekali gus sekali gus menawarkan fleksibiliti rangkaian pacuan yang lebih besar bagi memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia Martin Schulz berkata CLA 200 AMG Line melambangkan komitmen syarikat untuk memberikan kebebasan kepada pelanggan di Malaysia bagi memilih rangkaian kuasa paling sesuai dengan keperluan mereka.
“Sebagai model pemasangan tempatan, CLA 200 AMG Line menggabungkan ciri tersendiri CLA dengan kecekapan cemerlang, teknologi pintar dan tahap keselesaan yang dipertingkatkan sekali gus melengkapi model CLA elektrik serba baharu,” katanya ketika acara pratonton media di Mercedes Benz Centre Singapura hari ini.
Sementara itu, GLC 300 4MATIC menawarkan kuasa E-Drive sebanyak 310 kilowatt dan jarak perjalanan sehingga 616 kilometer (km) berdasarkan Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Sedunia yang Diselaraskan (WLTP), dengan teknologi 800 volt membolehkan penambahan jarak pemanduan sehingga 255 km dalam tempoh 10 minit.
“GLC telah lama mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan kami, dan GLC elektrik serba baharu menandakan lembaran baharu yang menarik bagi model yang amat digemari ini.
“Dengan reka bentuk diperbaharui, teknologi terkini dan dinamik pemanduan yang berkuasa, GLC elektrik serba baharu ini menawarkan pengalaman yang progresif, namun pada masa sama tetap mengekalkan ciri-ciri yang telah dikenali dan meyakinkan,” kata Martin.
-- BERNAMA