Am 14/09/2026 11:01 PM

APBN 2026: Penerima Perlu Jadi Ejen Perubahan, Bukan Sekadar Bawa Pulang Trofi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
APBN 2026: Penerima Perlu Jadi Ejen Perubahan, Bukan Sekadar Bawa Pulang Trofi
Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari menyampaikan ucapan semasa hadir ke Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2026 malam ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 14 Sept (Bernama) -- Penerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2026 perlu menjadikan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada golongan itu sebagai amanah untuk mencetus perubahan dan melahirkan lebih ramai anak muda berkualiti, bukan sekadar berbangga dengan trofi yang diterima.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata setiap penerima mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi ratusan malah ribuan anak muda lain supaya bersedia menghadapi perubahan dunia termasuk perkembangan pesat era digital dan kecerdasan buatan (AI).

"Anugerah Belia Negara ini tidak hanya semata-mata satu anugerah ataupun malam ini sahaja habis, selesai program hari ini, kemudian kita balik pulang dengan trofi yang berkilau.

"Anugerah ini sebenarnya adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh negara untuk kita supaya kita kembangkan lagi kehebatan anak-anak muda di luar sana," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian APBN Peringkat Kebangsaan 2026, di sini hari ini.

Mohammed Taufiq berkata seseorang penerima anugerah berupaya mempengaruhi ratusan bahkan ribuan belia untuk membawa perubahan kepada negara, selain membantu generasi muda mempersiapkan diri memasuki era digital dan AI.

Beliau berkata penerima APBN juga diharap menjadi ejen yang menggerakkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang.

"Anak muda merupakan jambatan yang paling hebat untuk mengekalkan perpaduan dalam negara kita," katanya.

Mohammed Taufiq berkata APBN yang diperkenalkan sejak 1988 telah melahirkan ramai anak muda berbakat, mempunyai jati diri kukuh serta komited menyumbang kepada negara, dengan sebahagian penerima terdahulu terus memberikan sumbangan kepada pembangunan generasi muda dan muncul sebagai pemimpin.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara contoh bagaimana keberanian dan rasa tanggungjawab seorang anak muda terhadap nasib masyarakat mampu mencetuskan perubahan.

Mohammed Taufiq berkata ketika berusia 27 tahun pada 1974, Anwar tampil memperjuangkan nasib masyarakat yang berdepan kesukaran susulan krisis ekonomi ketika itu, termasuk petani, pesawah dan penoreh getah.

Katanya, rasa tanggungjawab itu membawa kepada gerakan yang mengajak mahasiswa dan golongan muda tampil memperjuangkan kebajikan masyarakat.

Pada APBN tahun ini, jaguh Muay Thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dari Kelantan menerima Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan, satu-satunya kategori anugerah khas yang dipertandingkan, dengan membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi, cek cura dan sijil.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia Daerah Bangi dari Selangor muncul johan kategori Pertubuhan Belia dan menerima RM50,000, manakala Zairin Adam Abdul Aziz dari Kuala Lumpur dan Shameera Nasreen Ahamed Noordeen dari Pulau Pinang masing-masing mengungguli kategori Individu Lelaki dan Individu Wanita dengan hadiah RM20,000.

Esther Ezhilnanggai dari Negeri Sembilan pula menerima Anugerah Emas Remaja Perdana dengan hadiah RM10,000.

APBN 2026 mempertandingkan empat kategori utama dan satu kategori khas dengan pemenang dipilih panel penilai yang mempunyai kepakaran dalam kategori masing-masing sebelum melalui proses pertimbangan dan pengesahan.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Wan Adilah Wan Awang, penerima Anugerah Perdana Belia Negara kategori wanita pada 2013, yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik di tapak projek kolam ikannya pada 13 Sept lepas.

-- BERNAMA