Am 14/09/2026 09:49 PM

Lagu Kishore Kumar Versi Anwar Curi Tumpuan Lawatan Ke India, Seiring Pengukuhan Hubungan Diplomatik, Pelaburan 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lagu Kishore Kumar Versi Anwar Curi Tumpuan Lawatan Ke India, Seiring Pengukuhan Hubungan Diplomatik, Pelaburan 
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) disambut oleh Perdana Menteri India Narendra Modi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India, semalam.

Daripada M.Saraswathi dan R.Ratcharathan

NEW DELHI, 14 Sept (Bernama) --  Aksi spontan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  yang melantunkan lagu klasik Kishore Kumar, "Khwab Ho Tum Ya Koi Haqeeqat", mungkin telah menambat hati ramai masyarakat di India dan tular di media sosial negara itu.

Namun penyertaan beliau dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di sini tertumpu sepenuhnya kepada usaha memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia serta memajukan pelaburan dan kerjasama ekonomi.

Video berdurasi satu minit 32 saat yang memaparkan Anwar mendendangkan lagu Hindi popular itu mendapat reaksi positif daripada ramai masyarakat di India; ada yang menyifatkannya sebagai detik "mic drop" yang mencuri tumpuan di sidang kemuncak tersebut, manakala yang lain pula menganggapnya sebagai "momen paling manis" dalam perhimpunan itu.

Detik tular yang tidak dijangka itu menambah dimensi yang lebih santai dan peribadi serta unsur "diplomasi lunak" kepada lawatan kerja Perdana Menteri, sekali gus menyerlahkan hubungan budaya dan ikatan sesama rakyat antara Malaysia dengan India.

Bagi yang berpeluang membuat liputan banyak lawatan beliau, pasti akan menyedari bahawa interaksi Perdana Menteri dengan pemimpin dunia selalunya bukan hanya sekadar perbincangan yang serius dan rundingan yang rumit.

 

Diplomasi Lunak 

Barangkali diplomasi lunak merupakan satu daripada daya tarikan paling menonjol Anwar. 

Beliau mempunyai kebolehan semula jadi untuk melontarkan jenaka, menceriakan suasana, dan meredakan ketegangan, namun dalam masa sama tetap memastikan mesej yang tepat disampaikan dan isu-isu penting dibincangkan.

“Saya tahu waktu ini sudah agak lewat. Hanya pemimpin muda yang mempunyai pendirian teguh dan mantap sahaja yang mampu mengadakan pertemuan pada waktu selewat ini. Terima kasih banyak-banyak,” demikian kata-kata pembukaan Anwar semasa pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang berlangsung selepas jam 11 malam di sini, pada Jumaat, 11 September.

Anwar berusia 79 tahun manakala Putin 73. 

Seloroh beliau itu meredakan ketegangan dan suasana formal dalam bilik mesyuarat tersebut berikutan pelbagai peringkat protokol dan kawalan keselamatan yang ketat yang perlu dilalui.

"Saudaraku. Saya sangat gembira dapat bertemu dengan anda," kata Anwar sambil memeluk Perdana Menteri India, Narendra Modi, semasa pertemuan dua hala mereka pada 12 September.

Suasana ceria yang sama turut berlaku semasa pertemuan dua hala beliau dengan Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian.

Antara pemimpin lain yang ditemui Anwar ialah Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Kuchkarov.

Perdana Menteri turut bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres dan Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Ngozi Okonjo-Iweala.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak tersebut adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Januari 2025.

 

Gaza, Asia Barat dan Sistem Kewangan Global yang Lebih Adil

Pelbagai pertemuan tersebut memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan negara-negara penting, bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, serta meneroka kerjasama yang lebih erat dalam bidang yang menjadi kepentingan bersama.

Perdana Menteri mengambil peluang tersebut untuk membincangkan pelbagai perkembangan geopolitik, khususnya konflik yang sedang berlaku dan krisis kemanusiaan di Gaza, serta ketegangan di Asia Barat.

Beliau berkata situasi itu menuntut perpaduan dalam kalangan rakyat dan pemimpin dunia bagi menghentikan pertumpahan darah serta mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan.

Anwar juga sempat berbincang dengan Prabowo mengenai situasi kebakaran hutan di Indonesia terutama di Kalimantan dan Sumatera yang turut mengakibatkan jerebu yang teruk di negara-negara jiran, termasuk Malaysia.

Menerusi Kenyataan Negara mengenai Pembentukan Masa Depan bagi Pertumbuhan Global yang Inklusif, Perdana Menteri menyeru agar diwujudkan sistem pembiayaan global yang lebih adil, dengan menegaskan bahawa tidak ada negara yang harus dipaksa memilih antara membayar hutang dan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyatnya.

“Banyak negara berdepan dengan masalah beban hutang yang kritikal atau berisiko tinggi mengalaminya, malah ada yang membelanjakan lebih banyak wang untuk membayar faedah hutang berbanding menyediakannya untuk pendidikan golongan muda atau penjagaan pesakit.

"Tiada negara yang patut dipaksa memilih antara melunaskan hutangnya dengan memenuhi tanggungjawab terhadap rakyatnya," tegas beliau.

Selain itu, Anwar juga bertemu dengan wakil daripada DRB-Hicom, Segula Technologies India, AWL Agri Business Ltd dan Motherson Group untuk membincangkan peluang memperluas pelaburan dan kerjasama industri antara Malaysia dan India dalam sektor strategik.

Penyertaan Perdana Menteri dalam sidang kemuncak itu juga menyediakan platform bagi Malaysia untuk mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan menarik serta memperkukuh hubungan ekonomi dengan anggota BRICS dan negara peserta lain.

 

Lawatan Ke Keralam, Terima Anugerah dan Seruan Manfaatkan AI

Di Kozhikode, Keralam, negeri di Pantai Malabar India, Anwar bertemu Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad, di Markazu Saquafathi Sunniya, juga dikenali sebagai Jamia Markaz.

Pada pertemuan selama satu jam itu, Perdana Menteri dan Sheikh Abubakr bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan komuniti, pemerkasaan pendidikan, serta usaha memperkukuh persefahaman dan keharmonian antara agama.

Anwar turut diberi penghormatan tinggi apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abubakr  yang julung kali diadakan, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau selama lebih lima dekad dalam bidang pendidikan, keilmuan Islam, pembangunan institusi, dialog antarabangsa dan kesejahteraan insan.

Menerusi ucapan pada majlis  “Gathering of Honour for the Prime Minister of Malaysia” di Jamia Markaz itu, Perdana Menteri menyeru dunia Islam agar memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu namun dalam masa yang sama memastikan akidah, nilai-nilai moral, dan warisan Islam terus terpelihara dengan teguh.

Berucap kepada kira-kira 2,000 hadirin, termasuk para ilmuan Islam dan pelajar, Anwar menyatakan bahawa golongan ilmuan dan masyarakat Islam tidak boleh membiarkan diri mereka terpinggir daripada kemajuan pesat AI dan teknologi moden, memandangkan kekurangan ilmu dan kefahaman mengenainya boleh menyebabkan mereka terdedah kepada pengaruh luar.

Semasa perbincangannya dengan Ketua Menteri Keralam V. D. Satheesan, Anwar menggalakkan kerjasama yang lebih erat dalam ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan dan sektor bernilai tinggi lain.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan cara untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serta memudahkan perdagangan dan pelaburan, di samping meneroka peluang untuk memperluas sektor pelancongan, perniagaan dan pertukaran pengalaman antara rakyat.

Beliau juga mengundang Satheesan untuk melawat Malaysia.

Sementara itu Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan perniagaan bersemuka dengan Majlis Perniagaan Emiriah Arab Bersatu (UAE)-India dan Kumpulan BEEAH yang berpangkalan di UAE.

Anwar juga mengadakan kunjungan hormat terhadap Gabenor Keralam, Rajendra Vishwanath Arlekar, serta Menteri Perindustrian dan Perdagangan, P.K. Kunhalikutty. Beberapa pemimpin utama industri turut hadir semasa pertemuan tersebut.

Semasa perbincangan tersebut, beliau mengalu-alukan hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Keralam yang merangkumi bidang perdagangan, penghijrahan, pendidikan dan pertukaran budaya.

Beliau juga menggalakkan kerjasama yang lebih erat dalam ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan serta sektor bernilai tinggi lain.

Mereka juga membincangkan peluang untuk meningkatkan pelancongan, perniagaan dan pertukaran pengalaman antara rakyat.

Anwar tiba di sini pada Jumaat untuk menghadiri sidang kemuncak tersebut. 

Ini merupakan lawatan kedua beliau sebagai Perdana Menteri ke India, dengan lawatan pertama dilakukan pada bulan Ogos 2024.

Dari India, beliau akan ke Maldives untuk lawatan rasmi selama dua hari.

-- BERNAMA