Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup bercampur-campur hari ini, susulan aktiviti pengambilan untung selepas harga meningkat pada awal sesi, kata seorang penganalisis.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM memulakan minggu dagangan dengan kenaikan sederhana, meneruskan momentum belian ketika peniaga memantau kenaikan ketara harga minyak mentah semasa sesi dagangan Asia.
“Bagaimanapun, selepas mencatatkan peningkatan seterusnya pada separuh kedua sesi dagangan, momentum kenaikan itu merosot apabila aktiviti pengambilan untung berlaku dan kerugian besar dalam pasaran berkaitan minyak sayuran yang menjejaskan sentimen, sekali gus mengurangkan keuntungan secara menyeluruh dan menyebabkan pasaran ditutup dengan prestasi bercampur-campur,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup, kontrak September 2026 meningkat RM47 kepada RM4,597 setan, manakala kontrak Oktober 2026 mengukuh RM47 kepada RM4,717 setan dan kontrak November 2026 menambah RM36 kepada RM4,850 setan.
Sementara itu, kontrak Disember 2026 menokok RM14 kepada RM4,958 setan, manakala Januari 2027 menyusut RM4 kepada RM5,052 setan dan Februari 2027 berkurang RM16 kepada RM5,132 setan.
Jumlah dagangan merosot kepada 147,722 lot daripada 176,318 pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 351,160 kontrak daripada 349,906 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi September Selatan meningkat RM10 kepada RM4,630 setan.
-- BERNAMA