Am 14/09/2026 10:42 PM

Sukan Asia: Sasaran Enam Emas Relevan, Malaysia Optimis Capai Misi - Mohammed Taufiq

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sukan Asia: Sasaran Enam Emas Relevan, Malaysia Optimis Capai Misi - Mohammed Taufiq
Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari (empat kiri) bergambar bersama para penerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Kebangsaan (kategori individu lelaki) pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2026. Turut sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol (tiga, kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Rahimi Ismail (tiga, kanan), Ketua Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negara Azura Abidin (dua, kiri) dan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia Muhammad Naim Al Amin Saharudin (dua, kanan).

PUTRAJAYA, 14 Sept (Bernama) -- Sasaran enam pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini disifatkan relevan berdasarkan penilaian terhadap kemampuan atlet serta komitmen persatuan sukan, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata sasaran berkenaan tidak ditetapkan secara sembarangan, sebaliknya mengambil kira hasil penilaian dan perbincangan serta persiapan atlet sepanjang tempoh latihan.

"Kita sangat optimis dan positif dengan apa yang mampu diberikan oleh kontinjen, atlet, jurulatih dan semua persatuan sukan.

"Apabila kita menetapkan sasaran, kita tidak hanya menetapkan sasaran tanpa apa-apa asas. Kita dah adakan penilaian, perbincangan dan setiap persatuan sukan telah memberikan komitmen penuh," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Kebangsaan 2026, di sini hari ini.

Ditanya sama ada sasaran enam emas itu relevan, Mohammed Taufiq berkata: "Sangat relevan."

Bagaimanapun, beliau mengingatkan aspek persediaan mental atlet tidak boleh dipandang ringan kerana faktor teknikal serta tekanan ketika pertandingan boleh mempengaruhi prestasi meskipun mereka telah menjalani latihan panjang.

"Persiapan mental sangat-sangat penting kerana apa-apa pun boleh berlaku...hal-hal teknikal dan juga yang mengganggu mental mereka boleh menyebabkan perubahan dari segi prestasi," katanya.

Mohammed Taufiq berkata kebajikan kontinjen negara turut diberikan perhatian, khususnya dalam menghadapi keadaan cuaca kurang baik di Jepun ketika ini.

Beliau berkata situasi berkenaan sentiasa dipantau bersama pihak tuan rumah, Kerajaan Jepun, Majlis Sukan Negara (MSN) serta wakil Malaysia yang telah berada di sana.

Katanya, MSN juga telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan pelan kontingensi yang jelas bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Mohammed Taufiq berkata beliau dijadual berlepas ke Aichi-Nagoya pada 18 Sept dan berada di sana hingga 24 Sept bagi memberikan sokongan kepada atlet dan kontinjen negara.

Beliau berkata pencapaian berdasarkan warna pingat juga penting sebagai sebahagian daripada perjalanan atlet negara menuju temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Sebelum ini, Ketua Kontinjen negara ke Sukan Asia, Datuk Mohd Sumali Reduan dilaporkan berkata kontinjen negara menggalas misi memburu enam pingat emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Beliau berkata sasaran keseluruhan 33 pingat itu ditetapkan berdasarkan prestasi semasa, rekod pencapaian terkini serta potensi atlet selepas mengambil kira tahap persaingan sengit di pentas Asia.

Malaysia mempertaruhkan sebanyak 352 atlet dan 185 pegawai dalam 30 daripada 43 jenis sukan dengan kontinjen negara mengambil bahagian dalam 156 daripada keseluruhan 469 acara yang dipertandingkan.

Daripada jumlah atlet itu, 15 merupakan atlet di bawah program Road to Gold, 158 program podium, 14 program pelapis dan 165 di bawah program persatuan, selain 110 atlet berumur bawah 21 tahun yang turut mendapat tempat dalam kontinjen.

Sebanyak 13 sukan dikenal pasti berpotensi menyumbang pingat, iaitu berbasikal trek, badminton, memanah, terjun, skuasy, sepak takraw, hoki, olahraga, pelayaran, karate, wushu, e-sukan dan menembak.

-- BERNAMA