KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Ekspo Perdagangan Pertanian “Remarkable Shandong” (Malaysia) 2026 kembali ke Malaysia bagi edisi keduanya pada Isnin, menghimpunkan hampir 100 syarikat dari enam bandar di seluruh wilayah Shandong serta lebih 1,100 produk bagi aktiviti libat urus perdagangan dan industri selama tiga hari.
Diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hingga 16 Sept, ekspo tahun ini memberi penekanan lebih besar terhadap piawaian halal, akses pasaran dan kerjasama rantaian bekalan rentas sempadan. Ekspo itu menghubungkan pengeluar Shandong secara lebih langsung dengan pembeli dan saluran pengagihan di Malaysia serta pasaran ASEAN yang lebih luas.
Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Parti merangkap Naib Pengerusi Shandong Agricultural Group Co Ltd Duan Youchen berkata Malaysia bukan sahaja rakan kongsi ekonomi dan perdagangan penting bagi Shandong di ASEAN, malah negara ini juga merupakan pintu masuk penting ke ASEAN dan pasaran halal global.
"Menerusi Ekspo Perdagangan Pertanian “Remarkable Shandong” (Malaysia) 2026, kami berharap dapat mewujudkan tiga platform utama, iaitu perdagangan dua hala produk pertanian berkualiti, kerjasama merentasi rantaian nilai pertanian dan promosi antarabangsa jenama pertanian.
"Dengan memanfaatkan ekosistem pensijilan halal Malaysia yang mantap, kami juga berharap dapat menyokong lebih banyak produk pertanian berkualiti Shandong untuk menembusi pasaran ASEAN dan antarabangsa, di samping memperluas dan memperdalam kerjasama pertanian,” katanya dalam ucapan perasmian di sini pada Isnin.
Naib Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Datuk See Meng Geok berkata MCCC akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara perniagaan di Malaysia dan China, membantu menterjemahkan libat urus pada ekspo itu kepada perkongsian yang nyata serta bersama-sama meneroka peluang di seluruh ASEAN, Asia Barat dan pasaran global.
"Kami berharap dapat meneroka model yang menggabungkan keupayaan pengeluaran Shandong dengan pensijilan halal Malaysia serta kesalinghubungan pasaran global, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai platform penting bagi produk Shandong yang berkualiti untuk menembusi pasaran antarabangsa, selain membolehkan Shandong menjadi rakan industri dan rantaian bekalan penting bagi aspirasi halal global Malaysia," katanya.
Bekas Duta Khas Perdana Menteri ke China dan bekas Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China Tan Kok Wai berkata usaha memperdalam kerjasama pertanian antara Malaysia dan China bukan sahaja mempunyai nilai ekonomi, malah turut mempunyai kepentingan strategik.
"China mempunyai pengalaman luas dalam teknologi pertanian moden, pemprosesan makanan, logistik rangkaian sejuk dan jentera pertanian, manakala Shandong, sebagai antara wilayah pertanian utama China, menduduki tempat pertama di negara itu bagi eksport pertanian selama 26 tahun berturut-turut, sekali gus menawarkan pengalaman berharga kepada sektor pertanian Malaysia.
"Kami mengalu-alukan lebih banyak produk Shandong yang berkualiti ke Malaysia dan berharap syarikat Shandong melihat Malaysia sebagai rakan kongsi penting dan pintu masuk ke pasaran ASEAN," katanya.
Ekspo itu mempamerkan kepelbagaian industri pertanian dan produk istimewa dari pelbagai kawasan di Shandong, merangkumi buah-buahan dan sayur-sayuran segar, bijirin dan barangan kering, makanan sedia dimakan, daging dan makanan laut, ramuan makanan dan perasa, teh dan minuman serta produk tenusu.
Lima organisasi Malaysia termasuk Halal Development Corporation Berhad (HDC) turut menyertai pameran itu, sekali gus memperkukuh penglibatan industri tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang bagi libat urus antara syarikat Shandong dengan rakan kongsi Malaysia.
Acara itu turut menampilkan sesi penerangan oleh pegawai dan wakil industri mengenai kekuatan sektor pertanian Shandong, produk utama serta bidang kerjasama yang berpotensi, manakala wakil dari enam bandar dan daerah, iaitu Bandar Linyi, Kaunti Shen, Kaunti Yangxin, Kaunti Boxing, Bandar Anqiu dan Linqu, mempamerkan keupayaan serta produk pertanian masing-masing.
Ekspo itu turut menyaksikan syarikat Shandong serta rakan kongsi dari Malaysia dan rantau ini menandatangani lima perjanjian kerjasama strategik meliputi perdagangan pertanian, agromakanan, industri lembu dan halal serta promosi perdagangan dan pelaburan.
Perjanjian itu melibatkan Nozoly Food Industry Sdn Bhd dengan Shandong Agricultural Group Co Ltd, Latam Singapore Pte Ltd dengan Shandong Going Global Guangdong Hengqin Supply Chain Co Ltd, Nozoly Food Industry Sdn Bhd dengan Niuzhigu Holdings (Yangxin) Co Ltd, Metrobiz Marketing Sdn Bhd dengan Shandong Meijia Group Co Ltd serta Binzhou Zhongyu Food Co Ltd dengan Macau Zishen Group Limited.
Perjanjian berkenaan seterusnya menghubungkan sumber pengeluaran dan rantaian bekalan Shandong dengan rangkaian komersial di Malaysia serta rantau yang lebih luas, sekali gus menyediakan asas bagi perolehan produk, peluasan pasaran, pembangunan pengedaran dan perkongsian rantaian bekalan jangka panjang.
Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata memiliki produk berkualiti hanyalah langkah pertama untuk memasuki sesuatu pasaran, manakala pembungkusan dan pelabelan yang sesua, kualiti dan bekalan yang konsisten serta rakan kongsi tempatan yang boleh dipercayai adalah sama penting.
"Kami berharap ekspo ini menjadi titik permulaan untuk menyatukan industri, teknologi dan pengetahuan, sekali gus membantu lebih banyak syarikat Shandong mencari rakan kongsi jangka panjang di Malaysia serta menterjemahkan hubungan ini kepada hasil yang nyata," katanya.
Pada 2025, jumlah nilai pengeluaran wilayah Shandong merangkumi sektor pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan melebihi 1.3 trilion yuan (RM788.84 bilion), manakala eksport pertanian mencecah 166.83 bilion yuan (RM101.24 bilion), meningkat 1.2 peratus tahun ke tahun.
Shandong menduduki tempat pertama di China bagi eksport pertanian selama 26 tahun berturut-turut, dengan eksportnya menyumbang 22.4 peratus daripada keseluruhan eksport pertanian negara itu.
-- BERNAMA