Am 14/09/2026 09:15 PM

Anwar Pilih Pendekatan Sederhana Dalam Isu UMNO, Utamakan Kestabilan Kerajaan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anwar Pilih Pendekatan Sederhana Dalam Isu UMNO, Utamakan Kestabilan Kerajaan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Daripada Ratcharathan A/l Rawe Shanggar

KERALAM (INDIA), 14 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih pendekatan sederhana dalam menangani perbezaan pandangan berhubung isu kerjasama dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata kerajaan perlu kekal stabil kerana sebarang tindakan yang terlalu keras berhubung isu berkenaan boleh membawa kerugian kepada negara.

“Saya memilih jalan yang agak sederhana kerana yang penting, kerajaan harus stabil kerana kalau tidak, banyak kerugian untuk negara kita.

“Jadi, bagi saya itu yang penting dan saya lihat umpamanya itu juga suara yang kita dengar termasuk daripada UMNO,” katanya pada sidang akhbar bersama media Malaysia di Calicut di sini sebelum mengakhiri lawatan kerja ke India hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pelbagai pandangan turut disuarakan oleh rakan dalam kalangan parti politik termasuk PH namun perkara itu adalah biasa bagi sesebuah gabungan dan tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang boleh menggugat kerjasama kerajaan.

“Kita dengar semua tetapi daripada pengetahuan saya, saya tidak lihat ada masalah... ada yang kecil-kecil dan biasa... ini dalam rumah tanggapun ada masalah sedikit, ini (pula) dengan panglima-panglima, tentulah ada,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa isu yang dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 baru-baru ini.

-- BERNAMA