KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah bercadang memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu ke luar dari kawasan pusat bandar raya bagi membina pasar baharu yang lebih lengkap, besar dan moden, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang menyediakan kertas kerja berhubung cadangan berkenaan untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah kelak.
“Jika pasar baharu dibina, ia akan dilengkapi dengan semua kemudahan, lebih besar dan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau dua tapak yang dicadangkan bagi pasar baharu berkenaan di sini hari ini.
Terdahulu, Hajiji meninjau tapak cadangan pertama di tanah kerajaan negeri seluas 10 hektar di sepanjang Jalan UMS, Alam Mesra yang dicadangkan sebagai Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu Utara.
Hab di Alam Mesra berkenaan dicadangkan merangkumi kemudahan pasar kering, pasar basah, pusat produk kebudayaan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti ikan hasil taklimat daripada Mayor Kota Kinabalu Datuk Sabin Samitah.
Beliau kemudian melawat tapak kedua di atas tanah komersial bercampur berhampiran Kampung Likas di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, bersebelahan Anjung Selera.
Hajiji berkata Pejabat Mayor DBKK juga akan mengemukakan cadangan mengenai perancangan pembangunan semula tapak sedia ada Pasar Besar Kota Kinabalu selepas pasar berkenaan dipindahkan.
Lawatan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman serta Pembantu-Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ceasar Mandela Malakun.
-- BERNAMA