Am 14/09/2026 08:43 PM

Muka Sauk Kabang Capai 94 Peratus, Pelan Pencepatan 21 Hari Dilaksana

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Muka Sauk Kabang Capai 94 Peratus, Pelan Pencepatan 21 Hari Dilaksana
Kredit: FB - Armizan Mohd Ali

PAPAR, 14 Sept (Bernama) -- Projek Menaik Taraf Muka Sauk Kabang di sini kini mencapai kemajuan fizikal 94 peratus, dengan Pelan Pencepatan selama 21 hari dilaksanakan bagi menyiapkan baki kerja kritikal projek itu.

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata beliau bersama rakan-rakan wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Parlimen itu hari ini meninjau perkembangan projek berkenaan, khususnya kerja akhir di kawasan muka sauk.

Beliau berkata Pelan Pencepatan 21 hari itu telah dimulakan, dengan kerja hari pertama hingga ketiga melibatkan proses mengosongkan kolam serta pembinaan dinding struktur muka sauk.

“Pelan Pencepatan ini perlu diselesaikan supaya kita tidak terus berdepan keadaan yang sama pada masa hadapan. Keutamaan kita adalah memastikan baki kerja disiapkan mengikut jadual, pada masa yang sama meminimumkan kesannya kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata projek yang dimulakan pada 10 Mac 2025 itu penting kerana kapasiti Muka Sauk Kabang akan dinaik taraf daripada sembilan juta liter kepada 30 juta liter sehari, sekali gus menjadi sumber air mentah alternatif kepada Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau dan Loji Rawatan Air Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS).

“Apabila sumber air di Muka Sauk Limbahau terjejas akibat kadar kemasinan, kekeruhan atau kandungan ammonia melebihi tahap selamat, air mentah dari Muka Sauk Kabang boleh digunakan bagi membantu memastikan kedua-dua loji terus beroperasi,” katanya.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata pelaksanaan projek berkenaan berdepan beberapa kekangan termasuk keadaan cuaca, paras sungai dan keadaan sumber air mentah, selain kerja di tapak pernah terhenti selama 46 hari akibat masalah saliniti dan 71 hari disebabkan hujan.

Beliau berkata dalam keadaan tertentu Muka Sauk Kabang sedia ada juga perlu terus digunakan bagi memastikan bekalan air mentah kepada kedua-dua loji tidak terputus.

Baki kira-kira enam peratus kerja projek itu, katannya melibatkan komponen penting yang perlu disiapkan sebelum kapasiti naik taraf dapat beroperasi.

“Kerja seterusnya merangkumi pembinaan tapak pam, pemasangan pam, penyambungan paip serta pengujian sistem,” katanya.

Armizan berkata bagi menyiapkan baki kerja kritikal, kolam perlu dikosongkan dan Muka Sauk Kabang sedia ada tidak dapat digunakan sepanjang 16 hari pertama Pelan Pencepatan.

Beliau berkata operasi paip Muka Sauk Kabang sedia ada turut perlu dihentikan sementara pada hari ke-17 hingga ke-19 bagi membolehkan kerja penyambungan paip ke LRA Limbahau dilaksanakan, manakala dua hari terakhir diperuntukkan untuk proses pengujian dan pentauliahan sistem.

Bagaimanapun, katanya penutupan sementara Muka Sauk Kabang tidak semestinya menyebabkan gangguan bekalan air sepanjang tempoh berkenaan kerana LRA Limbahau dan EWSS masih boleh beroperasi menggunakan sumber air mentah dari Muka Sauk Limbahau, selagi kualiti air berada pada tahap sesuai untuk dirawat.

“Namun, sekiranya kandungan klorida meningkat sehingga air mentah tidak lagi sesuai untuk dirawat, pengeluaran air mungkin berkurangan dan berisiko menyebabkan tekanan rendah atau gangguan bekalan sementara di beberapa kawasan,” katanya.

-- BERNAMA