Am 14/09/2026 08:02 PM

Kes Jana Wibawa: Pegawai Penyiasat Nafi Siasatan Berat Sebelah, Beri "Perlindungan Imuniti" Kepada Azman

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Jana Wibawa: Pegawai Penyiasat Nafi Siasatan Berat Sebelah, Beri
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Pegawai penyiasat kes Jana Wibawa membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan siasatannya berat sebelah selain menyangkal Pengarah Syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd Datuk Seri Azman Yusoff diberikan layanan istimewa termasuk “perlindungan imuniti”.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mazery Mohd Zaini berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu, yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Saksi pendakwaan ke-29 itu juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau melindungi Azman kerana ahli perniagaan tersebut ialah saksi yang memberi keterangan di mahkamah terhadap Muhyiddin.

Hisyam: Saya katakan beliau mendapat layanan istimewa sebab ada “perjanjian” dengan SPRM dan apabila Datuk Azman memberi keterangan, beliau akan diberi imuniti dan perlindungan. Setuju atau tidak setuju?

Mazery: Saya tidak setuju.

Bagaimanapun, Mazery yang kini bertugas sebagai Ketua Cawangan Siasatan B, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya mengakui bahawa Azman tidak direman semasa siasatan kes Jana Wibawa.

Pada prosiding sebelum ini, Azman, yang juga saksi pendakwaan ke-27, berkata beliau tidak direman dan tidak dituduh di mahkamah kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung dakwaan meminta serta menerima wang daripada syarikat kontraktor berkaitan perolehan projek Jana Wibawa.

Menjawab pertanyaan Hisyam sama ada beliau mengenali dan turut menyiasat Adam Radlan Adam Muhammad, Mazery berkata beliau mengenali individu itu namun tidak menyiasatnya.

Saksi itu berkata beliau juga tidak mengetahui sama ada Adam Radlan, melalui syarikatnya Bayu Bumiraya Sdn Bhd, menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Lian Tan Chuan (TC Lian) atau syarikat Nepturis Sdn Bhd berkaitan projek Jana Wibawa.

Hisyam: Azman dan Adam Radlan terima balasan daripada Nepturis atau TC Lian, betul? Adam Radlan terima RM2 juta, Datuk Azman terima RM1 juta. Adam Radlan dituduh di mahkamah tetapi Datuk Azman tidak dituduh. Adakah perkara ini pelik?

Mazery: Pada saya, tidak.

Ketika disoal seorang lagi peguam Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad, sama ada Muhyiddin mengetahui mengenai sumbangan yang dibuat oleh syarikat Nepturis dan Mamfor Sdn Bhd, Mazery berkata beliau tidak tahu.

Terdahulu, Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk memanggil semula empat saksi pendakwaan yang selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan dengan syarat soalan-soalan hanya berkaitan sumbangan kepada Bersatu dan Adam Radlan.

Mereka ialah Azman, Lian (SP21), Penolong Penguasa SPRM Mohd Syawaludin Said (SP1) dan Pengarah Mamfor Sdn Bhd Shahradzi Shamsuddin (SP20).

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA