Am 14/09/2026 08:03 PM

Guru Didakwa Laku Kekerasan Fizikal Terhadap Murid Ditempatkan Di PPD

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Guru Didakwa Laku Kekerasan Fizikal Terhadap Murid Ditempatkan Di PPD
fb Andrew Ooi

GEORGE TOWN, 14 Sept (Bernama) -- Guru yang didakwa melakukan kekerasan fizikal terhadap seorang murid di sebuah sekolah rendah di sini ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu diambil sejurus menerima aduan waris murid tersebut bagi memastikan siasatan dijalankan secara teratur tanpa menjejaskan kebajikan murid dan persekitaran sekolah.

“PPD kini menjalankan siasatan dengan mendapatkan keterangan pihak berkaitan serta meneliti bukti dan dokumen sokongan.

“Pada masa sama, kebajikan dan kesejahteraan murid diberi keutamaan. Sokongan psikososial dan sesi kaunseling akan diberikan mengikut keperluan sepanjang tempoh ini,” menurut kenyataan itu.

JPNPP memaklumkan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid.

Jabatan itu memaklumkan siasatan akan dilaksanakan secara adil berdasarkan fakta serta keterangan yang diperoleh.

“Tindakan lanjut terhadap guru itu akan ditentukan berdasarkan dapatan siasatan serta peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Biro Pengaduan Awam Gerakan Pulau Pinang menggesa JPNPP menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan penganiayaan terhadap murid berusia sembilan tahun di sebuah sekolah jenis kebangsaan di daerah Barat Daya.

Ketua bironya Andrew Ooi berkata aduan diterima pada 8 Sept mendakwa murid itu mengalami lebam pada bahagian kiri belakang badan dan lengan kiri dipercayai kerana dipukul seorang guru.

-- BERNAMA