Dunia 14/09/2026 08:05 PM

222 Dokumen Identiti Diserahkan Menerusi Program MEKAR Diaspora Di Wellington

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
222 Dokumen Identiti Diserahkan Menerusi Program MEKAR Diaspora Di Wellington
Kredit: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Weillington, New Zealand

 KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyerahkan 222 dokumen identiti kepada rakyat Malaysia di New Zealand pada Isnin menerusi program jangkauan luar, Program MEKAR Diaspora.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington memaklumkan program dengan kerjasama suruhanjaya tinggi itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia untuk mendekatkan perkhidmatan awam penting kepada rakyat Malaysia di luar negara, di samping memperkukuh hubungan dan penyampaian perkhidmatan kepada diaspora Malaysia.

“...222 dokumen yang diproses dan dicetak di JPN Putrajaya telah diserahkan kepada pemohon. Jumlah ini adalah sebagai tambahan kepada dokumen yang diproses dan dicetak di lokasi oleh pegawai JPN sejak operasi kaunter bermula pada 7 Sept (di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington),” menurut suruhanjaya tinggi itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Makhzan Mahyuddin, bersama Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Abu Bakar Mamat.

Kaunter perkhidmatan JPN di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan terus beroperasi hingga 15 Sept, menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk permohonan dan penggantian MyKad serta MyKid, cabutan daftar, sijil kelahiran, kematian, pernikahan dan kewarganegaraan, serta perkhidmatan lain berkaitan dokumen pengenalan diri.

-- BERNAMA