Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 14 Sept (Bernama) -- Timbalan Menteri Kewangan Suahasil Nazara dilantik sebagai Menteri Kewangan baharu Indonesia pada Isnin, menggantikan Purbaya Yudhi Sadewa dalam rombakan Kabinet.
Suahasil, yang berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan sejak 2019, dilantik bagi meneruskan baki penggal Kabinet Merah Putih 2024-2029.
Beliau mengangkat sumpah jawatan yang ditadbirkan oleh Presiden Prabowo Subianto di Istana Negara di Jakarta sebelum kedua-duanya menandatangani dokumen rasmi pelantikan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas upacara berkenaan, Suahasil berkata beliau dimaklumkan mengenai pelantikan itu pada pagi Isnin dan diminta membuat persiapan untuk mengangkat sumpah pada petang hari yang sama.
"Ini merupakan satu bentuk kepercayaan daripada Presiden dan Republik Indonesia kepada saya dan saya menzahirkan penghargaan atas kepercayaan itu. Saya berharap dapat melaksanakan mandat yang diberikan Presiden," katanya.
Suahasil merupakan Menteri Kewangan ketiga di bawah pentadbiran Prabowo selepas Purbaya dilantik pada 8 Sept 2025 bagi menggantikan Sri Mulyani Indrawati.
Mengenai keutamaannya, Suahasil berkata Prabowo mengarahkan beliau memelihara kesihatan dan kredibiliti kewangan negara, selain memastikan belanjawan negara menyokong program keutamaan kerajaan.
“Keutamaannya adalah untuk melaksanakan belanjawan negara yang boleh dipercayai. Jadi, saya akan terus melaksanakan belanjawan negara yang boleh dipercayai, memastikan komunikasi awam juga boleh dipercayai serta memastikan apa yang dilaksanakan menerusi belanjawan negara menyokong program keutamaan kerajaan,” katanya.
Suahasil menyifatkan pelantikannya sebagai satu kesinambungan dan bukannya perubahan memandangkan beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan sepanjang pentadbiran Prabowo. Beliau berkata peralihan tugas daripada Purbaya akan diselaraskan dengan sewajarnya.
-- BERNAMA