Am 14/09/2026 07:00 PM

Penuntut UKM Berjaya Tamat Perlumbaan Ironman Di Perancis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penuntut UKM Berjaya Tamat Perlumbaan Ironman Di Perancis
fb Universiti Kebangsaan Malaysia - UKM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Penuntut tahun satu Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ahmad Dani Amir Fariz mencatat sejarah tersendiri apabila menamatkan perlumbaan Ironman 70.3 World Championship 2026 di Nice, Perancis.

UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ahmad Dani yang mencatatkan masa 6 jam 44 minit 21 saat menjadi peserta termuda dari Malaysia dan penuntut universiti awam pertama negara yang melayakkan diri ke kejohanan bertaraf dunia itu. 

Ahmad Dani, 19, berkata perlumbaan yang melibatkan tiga disiplin, iaitu renang sejauh 1.8 kilometer (km), berbasikal (90 km) dan larian (21 km) sebagai pertandingan yang amat sukar selain cuaca panas terik turut memberikan kesan kepada tempo lariannya.

“Ini pertandingan yang amat sukar. Segmen berbasikal terlalu mencabar. Bukitnya sangat curam dan pendakian amat sukar sehingga ada beberapa ketika saya hanya mampu mengayuh 11km/jam. Namun, saya cuba mengejar masa semasa turun.

“Untuk segmen larian, trek adalah landai tetapi agak sukar kerana dilakukan setelah otot kaki bekerja keras semasa berbasikal,” katanya dalam kenyataan sama.

Ahmad Dani bagaimanapun berkata nekad menikmati perlumbaan itu memandangkan kejohanan dunia Ironman 70.3 di Nice menjadi penganjuran terakhir di lokasi tersebut.

Pertandingan di Nice menjadi penyertaan kali ketiga Ahmad Dani dalam acara Ironman 70.3, selepas memperoleh kedudukan 10 teratas dalam kategori 18 hingga 24 tahun pada Ironman 70.3 Langkawi 2025 yang melayakkannya ke kejohanan dunia itu.

“Saya masih baru berjinak-jinak dalam sukan triatlon ini. Sejujurnya, saya tidak jangka akan layak ke peringkat kejohanan dunia semasa di Langkawi kerana itu kali pertama menyertai triatlon 70.3,” katanya.

Memasang impian untuk terus menceburkan diri dalam sukan triatlon, Ahmad Dani menyifatkan kejayaan itu sebagai permulaan untuk terus membanggakan nama Malaysia, khususnya UKM ke peringkat lebih tinggi.

“Saya juga ingin membuktikan pelajar universiti bijak mengurus masa dan boleh mengimbangkan pelajaran dengan penglibatan sukan,” katanya. 

-- BERNAMA