KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Pendaki warga Croatia yang diselamatkan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Kinabalu baru-baru ini mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana disyaki menggunakan laluan tidak rasmi dan mendaki tanpa permit.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pihak Taman-Taman Sabah telah membuat laporan polis berhubung insiden membabitkan Mauro Persic, 46, yang masih menerima rawatan.
Beliau berkata polis dan pihak Taman-Taman Sabah sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan tindakan selanjutnya terhadap pelancong berkenaan selepas keadaannya pulih.
“Pihak polis dan Taman-Taman Sabah juga sedang menyiasat sebab berlakunya insiden berkenaan. Selepas itu, mungkin setelah (beliau) sihatlah baru kita bincangkan,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sabah, di sini hari ini.
Jafry berkata pendaki berkenaan boleh didenda, namun perkara itu bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
Beliau berkata insiden itu juga perlu dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan laluan tidak rasmi ketika mendaki Gunung Kinabalu kerana tindakan berkenaan boleh mendatangkan risiko keselamatan.
Pada 11 Sept lepas, sebanyak 43 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya membawa turun Persic selepas operasi selama lima hari yang turut berdepan laluan mencabar serta keadaan cuaca hujan.
Warga Croatia itu mengalami kecederaan pada kaki kanan serta tulang rusuk kanan selain luka ringan pada tangan dan diberikan rawatan awal di Timpohon Gate sebelum dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan lanjut.
Operasi itu melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk Pasukan Khas Operasi Taktikal Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOCSAR), selain malim gunung, porter, renjer serta agensi keselamatan lain.
-- BERNAMA