Oleh Nor Baizura Basri
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Harga minyak global dijangka berada dalam jajaran antara US$95 dan US$110 setong susulan pelarasan harga berasaskan risiko ekoran gangguan berterusan di Selat Hormuz, loji penapisan dan inventori yang semakin berkurangan.
Ketua ahli ekonomi global Juwai IQI Shan Saeed berkata kekurangan inventori boleh melonjakkan harga Brent kepada US$120 hingga US$130 setong, dengan dolar yang lebih lemah mengukuhkan lagi pergerakan tersebut.
"Dalam kitaran ini, kekurangan menentukan tahap asas, geopolitik menetapkan had maksimum, dan tong marginal menentukan had pasaran," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata pasaran minyak global kini memasuki rejim risiko yang tinggi.
“Julat harga Brent kekal pada US$95-130 setong minyak, dengan paras terendah itu mencerminkan pelarasan harga pasaran berasaskan risiko manakala paras tertinggi itu dijangkakan sekiranya keadaan (gangguan di Teluk Hormuz) semakin memuncak,” katanya.
Shan berkata terdapat tiga faktor utama yang akan menyebabkan harga melonjak iaitu ketegangan geopolitik, pengurangan bekalan dalam tempoh terdekat dan penyusutan penampan bekalan.
"Trafik di Selat Hormuz masih menyusut dengan mendadak ketika permusuhan antara Amerika Syarikat (AS)-Iran semakin memuncak, yang menyebabkan harga tinggi merentasi pasaran fizikal dan pasaran hadapan.
"Kedua, keanjalan bekalan jangka pendek yang sangat terhad. Agensi Tenaga Antarabangsa mengunjurkan bekalan global berkurangan sebanyak 4.3 juta tong sehari secara purata pada 2026. Inventori dilihat menyusut sebanyak 410 juta tong sejak konflik bermula dengan defisit suku ketiga diunjurkan sebanyak 1.8 juta tong sehari,” katanya.
Beliau berkata daya pemprosesan penapisan Julai kekal hampir lima juta tong sehari di bawah paras tahun sebelumnya, mengurangkan stok diesel, bahan api jet dan petrol secara serentak.
Bagi penampan fizikal, katanya, stok semakin berkurangan dengan memetik unjuran Rusia yang mengunjurkan pengeluaran minyak mentah 2026 berjumlah 9.88 tong sehari - terendah sejak 2009 berikutan tekanan geopolitik dan operasi yang menjejaskan kapasiti pengeluaran dan penapisan.
"Kelemahan berterusan dolar akan menambah kecenderungan harga meningkat, dengan menyokong komoditi dalam denominasi dolar dan mengurangkan bebanan mata wang tempatan bagi sesetengah pengimport," kata Shan.
Setakat 4.10 petang hari ini, minyak mentah Brent meningkat 1.75 peratus kepada US$98.70 setong manakala minyak mentah West Texas Intermediate A.S. berada pada US$94.21 setong, naik 2.98 peratus.
-- BERNAMA