KANGAR, 8 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup masuk lapan pendatang asing termasuk seorang kanak-kanak selepas menahan sebuah sampan di Kuala Perlis, dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata sampan tanpa nombor pendaftaran itu ditahan pada 7.05 malam, kira-kira 0.1 batu nautika barat pantai Kuala Perlis.
"Bot ronda APMM mengesan sampan berkenaan bergerak dalam keadaan mencurigakan dipercayai dari arah sempadan negara jiran menuju ke Kuala Perlis.
"Apabila menyedari kehadiran bot penguat kuasa, sampan terbabit memecut ke arah daratan. Dua lelaki dipercayai tekong dan awak-awak bertindak terjun ke kawasan berlumpur sebelum melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nak Rong berkata pemeriksaan lanjut terhadap sampan berkenaan menemukan empat wanita, tiga lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar berumur antara 12 hingga 45 tahun disyaki cuba memasuki Malaysia menggunakan laluan tidak sah.
Beliau berkata kesemua pendatang asing itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, manakala sampan berkenaan dirampas melibatkan nilai dianggarkan lebih RM17,000.
"APMM tidak berkompromi dengan sebarang cubaan menjadikan perairan negara sebagai laluan penyeludupan pendatang asing. Tindakan akan dikenakan terhadap pihak terlibat dengan kegiatan itu,” katanya.
Nak Rong menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di perairan negara menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis melalui talian 04-9851072, 04-9851162 atau talian kecemasan 999.
-- BERNAMA