TAIPING, 8 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak menyediakan pelan kontingensi sebagai persediaan menghadapi impak fenomena cuaca ekstrem Super El Nino yang dijangka melanda negara.
Pengerusinya Datuk Sham Mat Sahat berkata persediaan awal meliputi aspek bekalan air, benih dan input pertanian lain bagi memastikan aktiviti penanaman serta kelangsungan sektor padi di negeri ini tidak terjejas dilanda cuaca panas melampau.
"Kita mahu lebih bersedia dari awal. Kalau benar berlaku kemarau, kita perlu tahu apakah tindakan yang perlu diambil dan pelan kontingensi yang ada akan dilaksanakan mengikut keadaan.
"Tindakan awal perlu diambil untuk mengatasi masalah ini kerana kalau kita lambat, keadaan mungkin menjadi kritikal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat PPN Perak di sini, hari ini.
Sham berkata pihaknya turut mempunyai beberapa loji pengeluaran benih padi untuk memastikan bekalan benih berkualiti tinggi kepada pesawah, selain bekerjasama dengan jabatan berkaitan bagi memastikan keperluan input pertanian dapat disusun dan disediakan dengan baik.
-- LAGI
PPN-CUACA PANAS 2 (AKHIR) TAIPING
"Saya juga meminta jabatan yang berkaitan melibatkan pesawah supaya membuat persediaan lebih awal kerana kita perlu tahu apa yang perlu dibuat dan di mana punca masalah yang perlu diselesaikan," katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Tinjauan Cuaca Jangka Panjang yang dikemas kini pada 29 Julai lepas menjangkakan fenomena El Nino berterusan sehingga awal 2027.
Keadaan itu dijangka menyebabkan taburan hujan lebih rendah di beberapa kawasan di pantai barat, timur dan selatan Semenanjung Malaysia, bahagian tengah sehingga barat Sarawak serta timur Sabah, sekali gus meningkatkan risiko kemarau dan tekanan terhadap sumber air negara.
-- BERNAMA