KUALA LUMPUR 8 Sept (Bernama) -- Hubungan Malaysia dengan Belgium dan Kesatuan Eropah (EU) terus menjadi antara fokus utama sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 yang diadakan baru-baru ini.
Kedutaan Besar Malaysia di Brussels dalam kenyataan berkata majlis anjuran kedutaan itu dihoskan oleh Duta Besar Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak.
Mohd Khalid dalam ucapannya berkata perdagangan dua hala Malaysia dan Belgium terus mengukuh dan menpunyai potensi besar kerjasama khasnya dalam bidang teknologi tinggi, farmaseutikal, logistik, tenaga boleh baharu dan industri halal.
Katanya, perdagangan dua hala Malaysia dan Belgium mencatatkan EUR2.06 bilion pada 2025.
Beliau berkata hubungan Malaysia dengan Kesatuan Eropah juga terus berkembang, dengan jumlah perdagangan barangan antara kedua-dua pihak pada 2025 mencapai EUR49 bilion.
“Malaysia dan Kesatuan Eropah kini sedang merundingkan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA), yang dijangka membuka peluang yang lebih luas untuk akses pasaran, rantaian bekalan serta peralihan hijau dan digital.
“Pada masa yang sama, kemajuan turut dicapai dalam perjanjian Partnership and Cooperation Agreement (PCA) yang bakal memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan negara-negara Kesatuan Eropah ke arah hubungan yang lebih strategik,” tambah beliau.
Beliau juga menegaskan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin serta komitmen memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia selaras undang-undang antarabangsa serta prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mohd Khalid berkata tema sambutan tahun ini “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” mencerminkan aspirasi negara untuk memastikan kemajuan diterjemahkan menjadi manfaat yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
Beliau turut menekankan perpaduan dalam kepelbagaian kekal sebagai kekuatan utama serta asas kestabilan, ketahanan dan kemajuan Malaysia.
Mengenai perkembangan ekonomi, beliau memaklumkan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama dan 6 peratus pada suku kedua 2026, menjadikan pertumbuhan keseluruhan 5.7 peratus bagi separuh pertama tahun ini.
Di samping itu, pelaburan yang diluluskan mencatatkan nilai RM92.8 bilion pada suku pertama 2026, manakala kedudukan negara melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dunia dalam World Competitiveness Ranking 2026.
Dalam pada itu, beliau turut mempromosikan Kempen Melawat Malaysia 2026-2027, apabila Malaysia merekodkan ketibaan lebih 1.3 juta pelancong dari Eropah, termasuk 45,000 dari Belgium pada 2025.
Majlis sambutan itu dihadiri 250 tetamu termasuk anggota kor diplomatik di Brussels. Antara yang hadir ialah Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri Belgium Pierre Cartuyvels dan Ketua Bahagian Asia Tenggara dan ASEAN, European External Action Service (EEAS) Leila Fernandez serta wakil kor diplomatik di Brussels.
-- BERNAMA