Dunia 08/09/2026 10:01 PM

Hampir 900 Hektar Kebakaran Hutan, Tanah Masih Belum Dipadam Di Indonesia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hampir 900 Hektar Kebakaran Hutan, Tanah Masih Belum Dipadam Di Indonesia
Seorang anggota bomba kelihatan dalam siluet ketika kebakaran hutan melanda kawasan hutan tanah gambut di Pulang Pisau, Kalimantan Tengah, Indonesia, Sabtu, 5 September 2026. (AP Photo/Regina Safri)

JAKARTA, 8 Sept (Bernama) -- Kebakaran hutan dan tanah membabitkan kawasan seluas hampir 900 hektar masih belum dipadam di enam wilayah keutamaan di Indonesia setakat Selasa, meskipun operasi pemadaman secara darat dan udara giat dijalankan sejak beberapa minggu lepas.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata hampir 1,500 hektar kawasan terbakar di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan serta Riau, Jambi dan Sumatera Selatan, dengan lebih 550 hektar dilaporkan berjaya dipadam setakat ini. 

Beliau berkata lebih 40,000 anggota dikerahkan bagi operasi pemadaman di darat, manakala operasi udara menggugurkan lebih tiga juta liter air di wilayah terjejas, termasuk lebih sejuta liter di Riau dan lebih 780,000 liter di Kalimantan Selatan.

Beliau berkata operasi pembenihan awan turut dilaksanakan di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan dan Riau, manakala operasi itu tidak dijalankan di Jambi dan Sumatera Selatan berikutan ketiadaan awan yang berpotensi menghasilkan hujan di atmosfera.

Operasi itu membantu meningkatkan taburan hujan di beberapa kawasan di Kalimantan Selatan dan Riau, manakala hujan turut direkodkan di Kalimantan Barat, katanya pada sidang media secara dalam talian pada Selasa.

Secara berasingan, Ketua Pusat Penerangan Tentera Nasional Indonesia (TNI) Mejar Jeneral Muhammad Nasir berkata pihak tentera menempatkan 80,026 anggota dalam keadaan siap siaga atau mengerahkan mereka di seluruh negara bagi menangani kebakaran hutan dan tanah, termasuk 1,260 anggota tambahan yang dihantar dari luar kawasan terjejas untuk memperkukuh operasi, khususnya di Kalimantan Barat.

Beliau berkata 1,482 anggota lagi dikerahkan bagi kempen pencegahan selama sebulan untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya dan kesan lebih luas akibat pembakaran hutan dan tanah, termasuk kebakaran yang berpunca daripada perbuatan sengaja atau kecuaian.

-- BERNAMA