KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 perlu dilihat melangkaui angka dan kedudukan carta antarabangsa, sebaliknya turut memberi perhatian kepada hubungan kekeluargaan dalam ekosistem pendidikan negara, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Beliau berkata kesibukan kehidupan moden menyebabkan ibu bapa kadangkala terlepas pandang momen penting bersama anak-anak, sedangkan sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam perkembangan mereka, termasuk dari segi emosi dan pembelajaran.
Fadhlina menyeru ibu bapa supaya sentiasa berusaha memperuntukkan masa dan memberikan perhatian kepada anak-anak meskipun berdepan tuntutan kerja dan kesibukan harian.
“Kita semua sedang mengejar kehidupan. Pagi mengejar waktu, petang mengejar kerja dan malam kita sudah keletihan. Kadang-kadang anak datang membawa cerita, kita menjawab sambil melihat telefon. Kadang-kadang mereka mahu menunjukkan sesuatu, kita kata ‘nanti dulu’.
“Sedangkan zaman anak-anak kita menjadi kecil tidak lama. Suatu hari nanti, mereka tidak lagi berebut mahu bercerita tentang sekolah dan mungkin ketika itu kita mempunyai lebih banyak masa. Cuma mereka sudah tidak memerlukan kita seperti dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata pendidikan seorang anak bukan hanya mengenai apa yang berlaku di dalam kelas kerana terdapat perkara yang hanya boleh diberikan oleh rumah, termasuk pelukan selepas hari yang buruk, bertanya mengenai hari mereka dan kesediaan mendengar cerita mereka.
Fadhlina berkata PISA turut menunjukkan anak-anak Malaysia mempunyai rasa ingin tahu dan kecekalan yang tinggi, namun mereka membesar dalam dunia yang lebih kompleks, termasuk berdepan ancaman buli siber.
“Sebagai Menteri, saya melihatnya sebagai cabaran kepada sistem pendidikan. Sebagai ibu, saya terfikir. Bagaimana kalau itu anak saya? Bagaimana kalau dia sedang terluka tetapi saya terlalu sibuk untuk menyedarinya?.
“Saya memikul amanah menjaga pendidikan jutaan anak Malaysia tetapi apabila pulang ke rumah, saya tetap seorang ibu dengan kerisauan yang sama seperti ibu-ibu lain,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata tanggungjawab membentuk masa depan anak-anak tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan keprihatinan dan penglibatan berterusan ibu bapa.
Prestasi Malaysia dalam PISA 2025 menunjukkan peningkatan dalam domain Sains dan Bacaan berbanding kitaran sebelumnya, dengan Sains meningkat tiga mata kepada 419 berbanding 416 dalam PISA 2022 manakala Bacaan meningkat lima mata kepada 393.
Pencapaian Matematik bagaimanapun menurun 11 mata daripada 409 kepada 397. PISA 2025 dilaksanakan dari 22 April hingga 30 Mei tahun lepas dengan penyertaan 7,624 pelajar berusia 15 tahun melibatkan 157 sekolah dan institusi pendidikan di seluruh negara.
-- BERNAMA