KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Public Bank Bhd mengemukakan cadangan untuk menyahsenarai anak syarikatnya yang dimiliki sebanyak 73.23 peratus, Public Financial Holdings Ltd (PFHL) pada harga tawaran HK$2.50 (RM1.29) sesaham.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Public Bank menyatakan setelah selesai proses nyahsenarai itu, PFHL akan menerbitkan bilangan saham baharu yang setara kepada pengemuka tawaran, dikreditkan sebagai berbayar penuh bagi mengekalkan modal saham syarikat berkenaan.
Bank itu memaklumkan setelah proses itu selesai, PFHL akan menjadi anak syarikat milik penuh kepada pengemuka tawaran berkenaan.
“Setelah skim tersebut selesai, penyenaraian saham PFHL di Bursa Saham Hong Kong akan ditarik balik selaras kepada peraturan penyenaraian yang terpakai,” menurut bank berkenaan.
Public Bank memberitahu harga pembatalan sebanyak HK$2.50 sesaham itu mewakili premium sebanyak 61.29 peratus berbanding harga penutup terbaharu PFHL.
Selain itu, harga ini juga mewakili premium antara 73.61 peratus hingga 83.82 peratus apabila dibandingkan dengan purata harga penutup syarikat tersebut sepanjang 30 hingga 360 hari dagangan yang lepas.
Bagaimanapun, ia mewakili diskaun masing-masing iaitu sebanyak 64.64 peratus dan 64.69 peratus berbanding nilai aset bersih sesaham PFHL yang diaudit dan belum diaudit pada 31 Dis, 2025 dan 30 Jun, 2026.
Public Bank memberitahu cadangan berkenaan menawarkan peluang kepada pemegang saham skim untuk menunaikan pelaburan mereka dengan serta-merta pada harga premium yang menarik berbanding harga dagangan berasaskan sejarah saham PFHL.
Selain itu, cadangan ini bertujuan mempermudah struktur pemilikan PFHL sekali gus membolehkan penyelarasan yang lebih baik serta koordinasi yang lebih cekap di antara PFHL dengan Public Bank bersama-sama anak-anak syarikatnya.
Ia turut menyatakan bahawa nyahsenarai berkenaan akan menghapuskan kos dan beban pentadbiran berkaitan pengekalan penyenaraian PFHL sekali gus membolehkan sumber ditumpukan dengan lebih langsung kepada operasi perbankannya.
“Cadangan itu dijangka memberi kesan positif terhadap pendapatan serta menyumbang secara positif kepada pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan Public Bank pada masa hadapan,” tambahnya.
Kumpulan PFHL terlibat terutamanya dalam perniagaan penyediaan rangkaian perkhidmatan perbankan dan kewangan yang komprehensif, pembrokeran saham, penyewaan hartanah pelaburan, penyediaan pembiayaan kepada pembeli teksi dan bas mini awam, perdagangan teksi dan lesen teksi serta penyewaan teksi.
-- BERNAMA