KOTA KINABALU, 8 Sept (Bernama) -- Pemain Sabah FC perlu kekal tenang dalam menghadapi asakan awal Selangor FC pada aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.
Ketua Jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido menjangkakan Selangor akan tampil lebih agresif dan memberi tekanan sejak awal permainan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi pertama di Stadium Likas di sini, 2 Sept lepas.
Justeru, beliau mengingatkan barisan The Rhinos supaya mengekalkan disiplin dan keyakinan selain beraksi mengikut perancangan bagi mengekang cabaran The Red Giants.
"Mereka bermain di laman sendiri, mereka adalah pasukan pilihan dan meneruskan saingan dalam Piala FA sangat penting buat mereka, jadi kami menjangkakan mereka akan cuba mendominasi permainan dan mencari gol awal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata komunikasi dan keserasian antara pemain juga perlu berada pada tahap terbaik sejak minit pertama bagi memastikan pasukan mampu menangani sebarang situasi di luar jangkaan.
Garrido mengakui jadual perlawanan yang padat menyebabkan barisan kejurulatihan memberi tumpuan kepada pemulihan fizikal dan mental pemain, selain memperkemas aspek pertahanan pasukan.
Mengulas dua gol yang dibolosi pada aksi pertama, beliau berkata ia terhasil menerusi tindakan individu berkualiti daripada pemain lawan, namun mahu anak buahnya lebih bijak mengambil kesempatan daripada setiap kesilapan Selangor.
"Kami perlu sehaluan, menguruskan serangan dengan lebih baik, kekal yakin, dan paling penting kami perlu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol lebih daripada lawan," katanya.
-- BERNAMA