Ekonomi 08/09/2026 07:55 PM

Pusat Data Sumbang 9.28 Peratus Daripada Penggunaan Elektrik – Suruhanjaya Tenaga

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pusat Data Sumbang 9.28 Peratus Daripada Penggunaan Elektrik – Suruhanjaya Tenaga
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Siti Safinah Salleh

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Pusat data ketika ini menyumbang 9.28 peratus daripada jumlah penggunaan elektrik negara, demikian menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

Ketua pegawai eksekutifnya Siti Safinah Salleh berkata penggunaan elektrik pusat data mungkin berbeza-beza mengikut cuaca, memandangkan sistem penyejukan memerlukan lebih banyak tenaga semasa tempoh yang lebih panas.

“Kami menjangkakan permintaan kuasa meningkat pada suku keempat tahun ini kerana terdapat beberapa pusat data yang dijangka beroperasi pada November ini.

“Pada masa ini permintaan kuasa melebihi 21 gigawatt. Jadi kami tidak menjangkakan ia akan meningkat terlalu banyak dari segi kapasiti puncak, tetapi dengan lebih banyak pusat data bakal beroperasi kelak, penggunaan tenaga dijangka bertambah,” katanya kepada pemberita di luar Forum Energy Regulatory Insights (ERI) 2026, di sini, hari ini.

Mengenai sama ada penggunaan elektrik oleh pusat data akan dihadkan, beliau berkata tiada had khusus, kerana kelulusan adalah berdasarkan kapasiti sistem kuasa yang tersedia.

"Seiring dengan peningkatan sistem, pusat data, seperti pelabur lain, boleh masuk berdasarkan apa yang boleh dibekalkan oleh sistem dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Siti Safinah berkata pengendali pusat data juga boleh melabur secara langsung dalam pembangunan tenaga boleh baharu melalui Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

“Kami mempunyai senarai permohonan yang sangat baik berjumlah kira-kira tiga gigawatt, dengan beberapa projek mencapai peringkat lanjutan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata tiada kapasiti penjanaan gas tambahan dijangka beroperasi penuh pada 2027, yang menyebabkan kapasiti sedia ada perlu dioptimumkan untuk memenuhi permintaan elektrik.

Beliau berkata gas kini menyumbang kira-kira 55 peratus daripada kapasiti penjanaan dan dijangka memainkan peranan yang lebih besar sebagai bahan api peralihan dalam campuran tenaga negara menjelang 2050.

ST juga telah mengenal pasti keperluan penjanaan kumulatif sekitar lapan gigawatt untuk tempoh 2029 hingga 2031 di bawah kitaran perancangan tiga tahun terkininya.

Siti Safinah berkata jawatankuasa perancangan ST menyemak keperluan sistem elektrik negara dua kali setahun untuk menangani perubahan dalam sektor tenaga yang semakin dinamik.

Sementara itu, Pengerusi ST Datuk Seri Asri Hamidon berkata pembaharuan tenaga bukan lagi hanya sekadar mengubah campuran tenaga, tetapi juga mengenai daya saing ekonomi Malaysia dan memastikan sistem tenaga dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat di samping kekal berpatutan, selamat, andal dan terjamin.

Beliau berkata pelaksanaan  pembaharuan memerlukan dasar, peraturan, reka bentuk pasaran, infrastruktur dan pelaburan bergerak seiring, dengan industri memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasrat negara itu. 

“Malaysia telah menetapkan hala tuju untuk peralihan tenaganya. Cabarannya sekarang adalah penyampaian, mengubah hala tuju itu menjadi nilai ketara untuk industri, ekonomi dan rakyat,” katanya semasa bercakap pada forum tersebut.

ERI 2026 yang dianjurkan oleh ST itu menghimpunkan penggubal dasar, pengawal selia, peneraju industri, institusi kewangan, ahli akademik dan organisasi antarabangsa untuk meneroka bagaimana pembaharuan kawal selia boleh menjadi pemangkin kepada pelaburan, daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka panjang.

Bertemakan "Pembaharuan Tenaga, Memperkasa Pertumbuhan," ERI 2026 berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkukuh kerjasama kawal selia, memupuk pembangunan pasaran dan memaklumkan keputusan pelaburan yang mempercepatkan peralihan tenaga dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Sementara itu, Siti Safinah berkata ERI 2026 menarik kira-kira 1,000 peserta berbanding 500 tahun lepas.

-- BERNAMA