KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Belanjawan 2027 perlu memperkenalkan insentif untuk menggalakkan pelaburan dalam kecekapan tenaga dan pembangunan tenaga boleh baharu (RE), demikian menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).
Ketua pegawai eksekutifnya Siti Safinah Salleh berkata pelaburan dalam kecekapan tenaga memerlukan galakan yang lebih besar, kerana ia sering diabaikan walaupun kepentingannya kepada keseluruhan sistem tenaga.
“Saya berharap kerajaan akan memperkenalkan inisiatif, insentif atau langkah-langkah dalam Belanjawan 2027 untuk menggalakkan kecekapan tenaga.
"Biasanya, kebanyakan orang mengelak untuk melabur dalam kecekapan tenaga kerana mereka fikir ia tidak begitu menarik. Justeru, saya fikir kecekapan tenaga benar-benar perlu diberikan insentif," katanya kepada pemberita di luar Forum Energy Regulatory Insights (ERI) 2026,di sini, hari ini.
Siti Safinah berkata kerajaan juga boleh mempertimbang insentif untuk mempercepatkan pembangunan RE.
Beliau berkata mereka yang mempunyai kemampuan kewangan harus digalakkan untuk melabur dalam kemudahan RE mereka sendiri, kerana pelaburan sedemikian akan memberi manfaat kepada keseluruhan sistem elektrik.
“Ini adalah jenis insentif yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026.
-- BERNAMA