GEORGE TOWN, 20 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C, yang disyaki menangkap ikan di zon tidak dibenarkan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata penahanan dibuat, susulan maklumat risikan mengenai vesel berkenaan yang dipercayai menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai, sekali gus melanggar syarat sah lesen.
“Bertindak atas maklumat risikan itu, bot ronda yang sedang melaksanakan rondaan rutin, digerakkan ke lokasi sebelum berjaya menahan VNT berkenaan berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung, kira-kira 7 malam.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong bersama-sama tiga kru, kesemuanya warga Thailand berusia antara 52 hingga 57 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Suffi berkata vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, kerana beroperasi di zon yang tidak dibenarkan mengikut syarat lesen.
Beliau berkata kesemua kru bersama vesel dan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM3 juta ditahan serta dibawa ke Jeti Batu Maung, manakala kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan dan siasatan lanjut.
-- BERNAMA