KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Seorang rakyat Malaysia yang terkandas di Jakarta, Indonesia susulan penutupan operasi penerbangan akibat letusan gunung berapi sentiasa memastikan segala maklumat keberadaan dimaklumkan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di negara itu.
Siti Murni Abdul Aziz yang berada di Indonesia bersama-sama suami, anak dan anak saudaranya atas urusan perniagaan dijadualkan pulang pada 6 Sept namun terkandas selepas sebahagian besar lapangan terbang di negara itu menghentikan operasi sementara akibat letusan gunung berapi.
“Nasihat saya jangan dengar apa yang diperkatakan di media sosial tetapi terus kepada pihak yang berwajib dan pastikan lapor kepada pihak kedutaan bahawa kita ada di situ.
“Pihak pengurusan yang mengendalikan penerbangan juga sentiasa menghubungi suami dan memberikan kemas kini,” katanya ketika dihubungi pada program Reaksi bertajuk “Rakyat Malaysia Terkandas Susulan Letusan Gunung Anak Krakatau” terbitan Bernama Radio hari ini.
Siti Murni yang menjangkakan dapat pulang ke tanah air dalam masa terdekat berkata turut mengelak daripada mengambil laluan darat dan feri susulan pergerakan abu vulkanik kini mula menjejaskan ruang udara di kawasan itu.
Lebih 1,000 rakyat Malaysia dilaporkan terjejas susulan pembatalan dan penjadualan semula penerbangan di Jakarta akibat abu Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera mula meletus pada 11.07 malam waktu tempatan pada Jumaat lepas.
-- BERNAMA