Dunia 08/09/2026 06:17 PM

Pesuruhjaya Tinggi Baharu Kagum Pemeliharaan Warisan India Di Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pesuruhjaya Tinggi Baharu Kagum Pemeliharaan Warisan India Di Malaysia

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Pemeliharaan bahasa, kepercayaan dan tradisi India merentas generasi mencerminkan masyarakat Malaysia yang berbilang budaya dan inklusif, kata bakal Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Somnath Ghosh.

Ghosh, yang memulakan tugasnya di Malaysia pada 3 Sept, berkata beliau kagum dengan identiti budaya kukuh yang dipelihara masyarakat India tempatan, di samping menjadi sebahagian daripada kepelbagaian dan kekayaan budaya negara ini.

“Saya amat gembira berada di sini melihat bukan sahaja ekspatriat dari India, malah mereka yang telah menetap di sini sejak enam generasi. Mereka masih mengekalkan bahasa, cara hidup dan kepercayaan mereka.

“Ia sesuatu yang mengujakan. Saya melihat cerminan India, cara kami hidup di India -- sebuah masyarakat berbilang budaya, agama dan tradisi,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan penutupan acara dua hari “Bandar Maharani Heritage Walk 2026” di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Khalidi di Muar, Johor, Ahad lepas.

Beliau berkata komuniti itu turut memainkan peranan konstruktif dalam menyumbang kepada kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan negara.

Sementara itu, Pengasas-Presiden Persatuan Warisan Malaysia-India (MIHS) Prabhakaran Nair berkata program jelajah warisan itu bertujuan meneroka dan mendokumentasikan sejarah berbilang budaya Muar, termasuk sumbangan pelbagai komuniti terhadap pembangunan bandar berkenaan, selain mengetengahkan perkongsian warisan sejarah dan budaya antara Malaysia dengan India.

Program dua hari yang berlangsung pada 5 dan 6 Sept itu dianjurkan MIHS dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India dan pertubuhan berasaskan komuniti di Muar sempena kempen Tahun Melawat Johor 2026.

Acara itu menghimpunkan lebih 60 peserta yang meneroka warisan Muar menerusi lawatan ke Muar River Cruise di Tanjung Emas, Bangunan Persatuan Chiang Chuan, Kuil Muar Nagara Sri Thendayuthapani, Gurdwara Sahib Muar dan Persatuan India Muar.

Program itu turut merangkumi lawatan ke beberapa tapak warisan penting lain serta ceramah, syarahan dan sesi perkongsian mengenai warisan sejarah dan budaya Muar.

Antara acara utama program itu ialah pelancaran dua buku yang mengangkat tokoh dan warisan Muar – “A Life Reimagined”, memoir Kalsom Taib, dan “Of Roots and Wings” karya Lilian Low yang mengisahkan kehidupan individu berjaya yang mempunyai kaitan dengan bandar berkenaan.

-- BERNAMA