Ekonomi 08/09/2026 06:10 PM

Kepimpinan MATRADE Pacu Pemecutan Eksport, Perkasa Daya Tahan Perdagangan Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kepimpinan MATRADE Pacu Pemecutan Eksport, Perkasa Daya Tahan Perdagangan Negara

KUALA LUMPUR, 8 Sept  (Bernama) -- Kepimpinan eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) terus komited dalam memacu lonjakan eksport serta memperkukuh daya tahan sektor perdagangan antarabangsa negara melalui strategi berteraskan pasaran dan pemudah cara perdagangan yang proaktif.

MATRADE memaklumkan pendekatan itu bertujuan memastikan syarikat Malaysia, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dapat menembusi pasaran global secara mampan dan mendepani apa jua keadaan ekonomi yang terus berubah.

“Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026, Malaysia mencatatkan prestasi perdagangan yang amat cemerlang dengan jumlah perdagangan mencecah RM2.16 trilion (+24.7 peratus berbanding tahun sebelumnya).

“Eksport negara turut melonjak 29.2 peratus kepada RM1.165 trilion, sekali gus melepasi aras RM1 trilion sebulan lebih awal berbanding 2025,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebihan dagangan negara turut melonjak lebih dua kali ganda kepada RM170.50 bilion, memanjangkan rekod lebihan dagangan bulanan berturut-turut Malaysia kepada 75 bulan sejak Mei 2020.

MATRADE memaklumkan momentum positif itu dipacu terutamanya oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E), yang menyumbang RM563.65 bilion atau 48.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, disokong oleh permintaan global yang kukuh untuk semikonduktor, infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.

"Pasaran utama seperti ASEAN (RM315.67 bilion, +20.3 peratus), Amerika Syarikat (RM206.59 bilion, +58.3 peratus), China (RM127.87 bilion, +24.3 peratus), Kesatuan Eropah (RM90.73 bilion, +29.8 peratus) dan Taiwan (RM80.81 bilion, +71.4 peratus) terus menjadi tonggak kepada kekuatan eksport negara," tambahnya.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kepemimpinan agensi itu komited untuk menjadikan setiap peluang perdagangan dipindahkan kepada hasil komersial yang nyata bagi pengeksport tempatan, di samping memastikan mandat organisasi diterjemahkan kepada akses pasaran yang berkesan.

"Kejayaan Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Kemboja baru-baru ini yang menjana jualan RM186 juta, melebihi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) sebanyak RM100 juta membuktikan pendekatan bersasar, risikan pasaran yang tepat dan sokongan berterusan mampu membina daya tahan pengeksport kita di peringkat antarabangsa," katanya.

Misi EAM Kemboja yang berlangsung dari 18 hingga 21 Ogos itu melibatkan 26 syarikat Malaysia daripada sektor makanan dan minuman, barangan pengguna cepat laris (FMCG), komponen automotif dan gaya hidup, menurut MATRADE.

Menurutnya, inisiatif itu turut memudah cara 260 sesi pemadanan perniagaan ke perniagaan (B2B) dan memperoleh 130 pertanyaan perdagangan, di samping mewujudkan kehadiran digital melalui pelancaran Pavilion Malaysia dan Halal Corner di platform e-dagang Kemboja, BallangKmall.com.

Sementara itu, MATRADE secara rasmi mengalu-alukan pelantikan Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Jacob Lee Chor Kok sebagai Ahli Lembaga Pengarah MATRADE yang baharu.

Pengalaman luas beliau dalam sektor pembuatan akan memperkukuh integrasi sektor awam dan swasta, terutamanya dalam membantu PMKS menangani halangan teknikal, mematuhi piawaian global dan memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

“Melangkah ke hadapan, MATRADE terus memperkemas inisiatif kebolehcapaian pasaran menerusi Malaysia-China Gateway Initiative (MCGi) dan mempergiat persiapan penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 (23-26 Sept) yang bakal menjadi platform utama untuk memacu pengantarabangsaan PMKS,” tambah agensi itu.

-- BERNAMA