Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Alunan harmoni suara dari Malaysia dan Jepun akan bergema di Kuala Lumpur minggu ini apabila kumpulan koir dari kedua-dua negara membuat persembahan dalam acara muzik bagi meraikan persahabatan yang terjalin sejak hampir tujuh dekad.
The Philharmonic Society of Selangor dan Philharmonic Chorus of Tokyo akan bergabung dalam Malaysia and Japan Friendship Concert dan Beethoven’s 9th Symphony: Ode to Joy di Auditorium Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 9 dan 11 Sept.
Konsert itu akan menampilkan lagu tradisional Malaysia dan Jepun di samping karya muzik Barat, termasuk persembahan penghormatan kepada penyanyi dan komposer legenda Malaysia P. Ramlee, persembahan Getaran Jiwa secara a cappella serta Simfoni Kesembilan Beethoven.
Pengerusi The Philharmonic Society of Selangor Brenda James berkata repertoir Malaysia akan merangkumi lagu tradisional yang diolah dalam bentuk susunan koir, antaranya versi Tanah Pusaka yang ditauliah khas.
“Kami akan mempersembahkan medley sebagai penghormatan kepada P. Ramlee dan turut membawakan versi Tanah Pusaka yang ditauliah khas. Ia istimewa kerana dimulakan dengan 12 bar Dondang Sayang, yang kini merupakan satu bentuk seni warisan UNESCO.
“Kemudian, kami turut mempersembahkan lagu kegemaran ramai seperti Can Mali Can dan Rasa Sayang, iaitu lagu rakyat Melayu yang telah diolah dalam bentuk koir,” katanya dalam temu bual menerusi program Bernama World terbitan Bernama TV pada Selasa.
Brenda menggalakkan mereka yang kurang mengenali muzik koir untuk menyaksikan persembahan itu kerana ia menawarkan peluang untuk memperluas pengalaman dan pengetahuan muzik mereka.
Menambah seri pertukaran budaya itu, Philharmonic Chorus of Tokyo akan mempersembahkan lagu klasik Malaysia Getaran Jiwa secara a cappella, di samping karya Jepun dan Barat.
Bekas Pengurus Besarnya Hiroshi Ando berkata konsert pada 11 Sept turut akan menampilkan repertoir daripada kejayaan jelajah Eropah kumpulan koir itu, termasuk muzik yang berakar daripada tradisi Jepun serta dua karya komposer terkenal Jepun Toru Takemitsu.
Beliau berkata Simfoni Kesembilan Beethoven amat sesuai untuk kolaborasi itu kerana mesej mengenai perpaduan dan persaudaraan yang dibawanya selari dengan semangat pertukaran budaya antara Malaysia dengan Jepun.
“Secara ringkasnya, mesej muzik ini adalah untuk menyatukan semua orang dan menjadikan kita bersaudara. Saya fikir muzik ini paling sesuai untuk kita saling bertukar budaya dan memahami antara satu sama lain,” katanya.
Mencerminkan sambutan menggalakkan orang ramai terhadap kolaborasi itu, konsert percuma berkenaan telah ditempah sepenuhnya dengan kesemua 500 tempat duduk habis ditempah.
-- BERNAMA