Am 08/09/2026 08:09 PM

Status Mangsa Helikopter Terhempas Belum Dipastikan, Jerebu Antara Cabaran SAR - Polis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Status Mangsa Helikopter Terhempas Belum Dipastikan, Jerebu Antara Cabaran SAR  - Polis
Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching hari ini. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang. Helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi penerbangan Flying Doctor Service ketika kejadian. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA KUCHING,

KUCHING, 8 Sept (Bernama) -- Status kesemua lima individu di dalam sebuah helikopter yang terhempas di hujung landasan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport) petang tadi masih belum dapat dipastikan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata maklumat awal mendapati helikopter milik sebuah syarikat swasta itu disewa bagi perkhidmatan doktor udara membabitkan tiga lokasi, iaitu dari Miri ke Ba Lai, Long Siut dan Long Lellang.

“Laporan mengenai insiden itu diterima pada 3.32 petang tadi. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diusahakan memandangkan kawasan kejadian agak terpencil dan mengambil masa lebih kurang 10 jam perjalanan darat dari Marudi.

“Perkhidmatan udara menggunakan helikopter dari Pangkalan Udara PDRM Kuching pula tidak dapat dilakukan memandangkan cuaca berjerebu dan tidak mendapat kebenaran terbang daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata operasi SAR pada masa ini bergantung pada bantuan penduduk kampung, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta polis bantuan di STOLport Long Lellang, sementara pasukan keselamatan dalam perjalanan ke lokasi.

Beliau berkata butiran tentang kesemua penumpang yang terlibat akan disahkan kemudian.

Mohamad Zainal turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan bersama dengan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan.

Terdahulu, CAAM mengesahkan sebuah helikopter jenis BO-105 bernombor pendaftaran 9M-LLF membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang STOLport, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Menurut pihak berkuasa penerbangan itu, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi penerbangan perkhidmatan doktor udara semasa kejadian.

-- BERNAMA