KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) hari ini selamat tiba di Dhunche, Nepal bagi membangunkan pangkalan hadapan dan memulakan operasi tinjauan udara menggunakan dron di kawasan terjejas bencana.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Sokongan Berpangkalan di Tanah Air (HBST) MAS01 SMART Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 10 anggota diketuai Inspektor Abdullah Ahmad Sobri berlepas ke destinasi itu menggunakan helikopter MI-17.
Kenyataan itu memaklumkan pasukan berkenaan bertolak dari Markas Taktikal Tentera Nepal di Trishuli pada 1 petang waktu Malaysia dan tiba di Dhunche kira-kira 45 minit kemudian.
“Dhunche adalah kawasan yang dijadikan pangkalan hadapan taktikal untuk pengurusan operasi bencana di kawasan Rasuwa meliputi Timure, Syafrubesi, Dhunche dan Mailung.
“Setibanya di lokasi, Pasukan SMART membangunkan pangkalan hadapan sebagai lokasi persediaan dan penginapan sementara sekiranya keadaan operasi memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan perancangan operasi hari ini menumpukan kepada aktiviti cerapan dron yang dipecahkan kepada dua kumpulan meliputi empat sektor kawasan antara Syafrubesi dan Timure.
Operasi melibatkan gabungan anggota SMART dan Angkatan Tentera Nepal itu bagaimanapun berdepan cabaran berikutan keadaan cuaca hujan hampir setiap hari yang mengekang usaha penerbangan dron di lapangan.
Sehubungan dengan itu, Pasukan SMART sentiasa meneliti kaedah paling sesuai bagi memastikan pengumpulan data foto udara dapat dilaksanakan secara optimum sebelum ia dianalisis bagi menyokong perancangan operasi seterusnya.
Pada Sabtu lepas, Pasukan SMART MAS01 yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana tiba di Kathmandu dengan menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pasukan berkenaan turut membawa kelengkapan mencari dan menyelamat (SAR) seberat 12.4 tan, termasuk dron berkapasiti tinggi, sistem komunikasi dan peralatan penyelamatan terowong bagi melancarkan operasi di negara yang dilanda banjir besar itu.
-- BERNAMA