Oleh Siti Azila Alias
GEORGE TOWN, 8 Sept (Bernama) -- Bahagian Automasi Mesin (B&R) ABB Group yang berpangkalan di Switzerland berhasrat memperkukuh kehadirannya di Pulau Pinang dan memperluas peranan negeri itu dalam operasi Asia Tenggaranya.
ABB menekankan ekosistem pembuatan yang kukuh di rantau ini, kumpulan tenaga kerja yang semakin berkembang serta kepimpinan dalam industri bernilai tinggi termasuk sains hayat, peranti perubatan serta semikonduktor sebagai antara faktor utama pengembangan operasinya di Pulau Pinang.
Pengarah Urusan Rantau Asia Selatan dan Asia Timur, Automasi Mesin ABB (B&R Automasi Industri) Pratip Samanta berkata Pulau Pinang menawarkan gabungan unik kepakaran pembangunan mesin, keupayaan pembuatan, pelanggan serta rakan kerjasama teknologi yang menjadikannya lokasi menarik bagi inisiatif automasi termaju.
“Pulau Pinang mempunyai ekosistem pembuatan yang sangat kukuh yang menghimpunkan pembuat mesin, penyedia teknologi, pengilang dan institusi akademik.
“Ini mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk membangunkan penyelesaian inovatif dan menyokong pertumbuhan industri di seluruh rantau ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual eksklusif sempena Forum Inovasi ABB 2026 di sini hari ini.
Automasi Industri B&R merupakan bahagian automasi mesin bagi ABB.
Menurut Pratip, industri seperti sains hayat dan peranti perubatan sedang mengalami perubahan pesat dipacu oleh keperluan kawal selia yang semakin meningkat, kerumitan produk yang lebih tinggi serta permintaan yang kian bertambah terhadap kebolehsuaian dan kecekapan.
“Apabila pengilang bertindak balas terhadap permintaan pasaran yang sentiasa berubah, mereka memerlukan sistem pengeluaran yang boleh menyesuaikan penggunaan teknologi dengan lebih pantas.
“Selain itu pengilang perlu menyampaikan kualiti yang konsisten dan membolehkan masa ke pasaran yang lebih cepat. Automasi pintar memainkan peranan penting dalam membantu mereka mencapai matlamat ini,” katanya.
Pratip menyatakan bahawa automasi mesin sedang berkembang melangkaui sistem kawalan tradisional ke arah persekitaran pengeluaran yang lebih pintar selain berteraskan perisian apabila kejuruteraan, operasi dan proses membuat keputusan semakin disokong oleh teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, berbanding memberi tumpuan kepada automasi semata-mata, pihak pengilang kini mencari penyelesaian yang lebih tangkas dan berdaya tahan sepanjang proses pengeluaran.
Pratip menambah, satu daripada cabaran utama yang dihadapi oleh kebanyakan pengilang hari ini ialah kewujudan berterusan sistem yang terpisah serta data industri berasingan yang menyekat produktiviti dan memperlahankan inovasi.
Beliau menegaskan syarikat-syarikat kini menangani cabaran ini dengan semakin meluas dengan mengguna pakai pendekatan yang dipacu perisian dan bersifat terbuka yang membolehkan pelbagai teknologi, mesin dan sistem pengeluaran beroperasi seiring dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Pratip menjelaskan B&R melihat potensi jangka panjang yang ketara di Pulau Pinang dan sedang meneroka peluang untuk memperkukuh lagi kehadirannya di peringkat tempatan sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan di rantau ini.
“Pulau Pinang memang sudah memainkan peranan penting dalam landskap pembuatan di Malaysia dan kami melihat peluang untuk memperluas sumbangannya terhadap aktiviti kami di Asia Tenggara.
“Kami mahu terus melabur dalam membangunkan keupayaan tempatan dan membina ekosistem yang lebih kukuh dalam bidang automasi dan pendigitalan,” tambah beliau.
Bagaimanapun, beliau memberitahu rancangan berkenaan masih dalam perbincangan dengan butiran lanjut dijangka dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang.
Mengenai sokongan kerajaan, Pratip mengakui kemajuan Malaysia dalam menarik pelaburan dan memperkukuh infrastruktur perindustrian selain menyatakan kerjasama berterusan antara industri, institusi akademik dan penggubal dasar adalah penting untuk mengekalkan pertumbuhan jangka panjang.
Melangkah ke hadapan, beliau mengunjurkan prospek Pulau Pinang dalam tempoh lima tahun akan datang kekal kukuh disokong oleh pelaburan berterusan daripada pengeluar peralatan asal (OEM) dan pengeluar global dalam sektor termasuk sains hayat, semikonduktor, percetakan serta pembuatan termaju.
-- BERNAMA