Am 08/09/2026 07:20 PM

Saifuddin Nasution Ketuai Delegasi Ke Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Saifuddin Nasution Ketuai Delegasi Ke Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang 2026
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengetuai delegasi Kementerian Dalam Negeri ke Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2026 di Lianyungang, Wilayah Jiangsu, China dari hari ini hingga Jumaat.

Penyertaan itu bagi memenuhi jemputan rasmi China yang akan memberikan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama keselamatan Malaysia-China dan usaha bersama menangani ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan Saifuddin Nasution dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China Wang Xiaohong bagi membincangkan kerjasama dalam bidang keselamatan awam, kawalan sempadan, kepolisan dan imigresen.

“Beliau juga dijadualkan menyertai Persidangan Sulung International Alliance for Combating Telecom and Cyber Fraud yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam membanteras sindiket penipuan telekomunikasi dan siber rentas sempadan,” menurut kenyataan itu. 

GPSCFL ialah platform antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin, penggubal dasar, agensi penguatkuasaan dan pakar keselamatan pelbagai negara bagi bertukar pandangan, pengalaman serta amalan terbaik dalam menangani cabaran keselamatan global.

Forum tahun ini mengangkat tema Unite to Advance Public Security Governance, Bring Stability to a Turbulent World dengan tumpuan antaranya terhadap keselamatan awam, jenayah rentas sempadan dan ancaman keselamatan yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi.

Penyertaan Malaysia dalam forum itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan keupayaan keselamatan dan penguatkuasaan negara terus diperkukuh melalui kerjasama strategik, perkongsian maklumat dan amalan terbaik dengan rakan antarabangsa. 

“Dalam landskap keselamatan yang semakin saling berhubung, ancaman seperti jenayah rentas sempadan, penipuan dalam talian dan jenayah siber tidak lagi dapat ditangani oleh sesebuah negara secara bersendirian,” menurut kenyataan itu.

Lawatan itu juga akan dimanfaatkan untuk memperkukuh hubungan keselamatan Malaysia-China serta memperluas rangkaian kerjasama antarabangsa yang dapat meningkatkan keupayaan agensi penguatkuasaan negara dalam melindungi keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

-- BERNAMA