PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 Malaysia menyerlahkan beberapa kekuatan dalam sistem pendidikan, khususnya dari segi sifat ingin tahu, ketekunan, keupayaan untuk berdikari dan pemikiran komputasional dalam kalangan pelajar.
Pengarah Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) Andreas Schleicher berkata pelajar Malaysia berusia 15 tahun menonjol dari segi sifat ingin tahu dan ketekunan, selain mampu belajar secara berdikari dengan menetapkan matlamat dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri, serta terus berusaha apabila berdepan kesukaran.
"Malah, dalam aspek-aspek berkenaan, Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik berbanding majoriti negara yang mengambil bahagian dalam PISA 2025.
"Dan perkara itu mustahak kerana dalam dunia yang bakal ditempuh golongan muda, pengetahuan akan kekal penting, tetapi apa yang lebih mustahak adalah keupayaan untuk terus belajar dan berkembang," katanya.
Beliau mengulas mengenai prestasi menerusi rakaman video yang disiarkan pada pengumuman PISA 2025 oleh Kementerian Pendidikan di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dan pegawai kanan kementerian.
Schleicher turut menggariskan mengenai kejayaan negara dalam mewujudkan peluang lebih saksama antara sekolah, dengan kira-kira 17 peratus variasi dalam prestasi pelajar berlaku antara sekolah, iaitu lebih rendah daripada purata antarabangsa.
Beliau berkata perbezaan antara sekolah yang menyediakan pendidikan kepada masyarakat yang lebih berkemampuan dan kurang berkemampuan adalah lebih kecil berbanding kebanyakan sistem pendidikan yang lain, menyaksikan Malaysia turut mencatat prestasi yang baik.
“Ini kerana kecemerlangan dan kesaksamaan tidak sewajarnya dilihat sebagai dua matlamat yang bertentangan. Sistem pendidikan yang benar-benar berjaya tidak memerlukan pelajar memilih antara kedua-duanya. Sebaliknya, ia meningkatkan tahap pencapaian pelajar,” katanya.
Satu lagi kekuatan yang diketengahkan beliau ialah pelajar Malaysia melaporkan tahap sokongan guru yang tinggi, menunjukkan warga pendidik semakin berperanan sebagai jurulatih, mentor, pemudah cara dan mereka bentuk pengalaman pembelajaran, bukannya sekadar menyampaikan pengetahuan.
"Pelajar menunjukkan prestasi lebih baik apabila mereka mendapat sokongan daripada guru. Golongan muda lebih banyak belajar apabila ada orang dewasa di sekolah yang yakin mereka mampu berjaya," katanya.
Schleicher berkata Malaysia perlu memberikan lebih perhatian kepada sokongan keluarga terhadap pendidikan, apabila PISA 2025 melaporkan penurunan tahap sokongan keluarga terhadap pelajar sejak penilaian 2022.
Beliau turut berkata prestasi dalam bidang sains dan bacaan menunjukkan perkembangan menggalakkan. Namun, Matematik kekal sebagai cabaran utama, dengan terlalu banyak penekanan dalam bilik darjah terhadap penyampaian kandungan subjek ini dan terlalu sedikit tumpuan diberikan kepada usaha membantu pelajar berfikir seperti ahli matematik.
Bagaimanapun, pelajar mempunyai kelebihan dalam menyelesaikan masalah menggunakan kaedah komputasional, dengan prestasi mereka dalam pemikiran komputasional jauh lebih baik daripada yang dijangkakan berdasarkan pencapaian dalam Matematik. Kelebihan ini juga lebih ketara di Malaysia berbanding negara lain yang mengambil bahagian dalam PISA 2025.
Beliau memberi amaran bahawa teknologi dan kecerdasan buatan (AI) seharusnya membantu dan bukannya menggantikan usaha kognitif dalam pembelajaran, manakala buli siber kekal sebagai perkara yang membimbangkan apabila lima peratus pelajar Malaysia melaporkan pernah mengalaminya, iaitu lebih tinggi berbanding purata antarabangsa dan dikaitkan dengan hasil pembelajaran yang lebih rendah.
Schleicher berkata Malaysia tidak perlu merombak sistem pendidikannya, sebaliknya terus memperkukuh asas sedia ada dengan menggalakkan sifat ingin tahu dan pengetahuan lebih mendalam dalam kalangan pelajar, menghubungkan pemikiran komputasional dengan Matematik, menggunakan teknologi dalam pembelajaran praktikal, mengeratkan hubungan sekolah dengan keluarga serta memastikan kecemerlangan dan kesaksamaan dicapai bersama.
"Keputusan PISA Malaysia menunjukkan bahawa banyak asas itu sudah tersedia. Jadi, mesej saya hari ini bukan sekadar syabas. Sebaliknya, teruskan usaha," katanya.
-- BERNAMA