Ekonomi 08/09/2026 06:04 PM

Kecekapan Tenaga, Inovasi Kunci Daya Saing Industri - ABB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kecekapan Tenaga, Inovasi Kunci Daya Saing Industri - ABB
Naib Presiden Perkhidmatan Elektrifikasi ABB Malaysia, Andrew Chelliah. -- Kredit: ABB Malaysia

GEORGE TOWN, 8 Sept (Bernama) -- Industri perlu mempertingkat produktiviti, mengoptimumkan penggunaan tenaga dan memperkukuh kebolehpercayaan operasi, selain mempercepat agenda kelestarian bagi memastikan daya saing kekal kukuh dalam persekitaran kos yang meningkat serta perubahan teknologi yang pesat.

Naib Presiden Perkhidmatan Elektrifikasi ABB Malaysia Andrew Chelliah berkata sektor perniagaan kini berdepan pelbagai cabaran, termasuk peningkatan kos tenaga, tuntutan kelestarian yang semakin tinggi, kerumitan rantaian bekalan, pendigitalan pesat dan penerimagunaan kecerdasan buatan (AI)

“Industri hari ini berada di persimpangan. Untuk kekal berdaya saing, organisasi perlu mencari kaedah untuk meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan penggunaan tenaga, memperkukuh kebolehpercayaan dan mempercepat agenda kelestarian,” katanya pada Forum Inovasi ABB Pulau Pinang 2026 di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Pengerusi Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Pulau Pinang Dr Lee Choo Yong.

Forum sehari itu menghimpunkan lebih 100 peserta daripada sektor utama termasuk semikonduktor, utiliti, penjanaan tenaga, elektrik dan elektronik, minyak dan gas, air dan air sisa, pusat data serta pembuatan.

Andrew berkata Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pembuatan serantau, khususnya dalam sektor semikonduktor dan elektronik termaju, dengan sektor pembuatan menyumbang kira-kira 23 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Beliau berkata Pulau Pinang, yang sering digelar “Silicon Valley of the East” berikutan kekuatan ekosistem elektrik dan elektroniknya, memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan serta memacu inovasi merentasi rantaian nilai semikonduktor.

“Kecekapan tenaga kini menjadi keperluan perniagaan yang semakin penting dan bukan lagi sekadar matlamat kelestarian,” katanya, sambil memaklumkan bahawa kos tenaga merangkumi kira-kira 25 peratus daripada kos operasi.

Memetik Laporan Kecekapan Tenaga ABB 2026, Andrew berkata 63 peratus syarikat perindustrian di Malaysia telah melabur dalam inisiatif kecekapan tenaga, manakala 33 peratus lagi merancang untuk berbuat demikian dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan teknologi yang dapat meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan dan prestasi operasi semakin dilihat sebagai pelaburan strategik, bukan sekadar peningkatan sistem sedia ada.

Menurut Andrew, forum berkenaan turut mengetengahkan pandangan praktikal dan penyelesaian berkaitan pembuatan semikonduktor, automasi adaptif, pemacu kelajuan berubah, motor pintar, kebolehpercayaan bekalan kuasa, pemantauan pelepasan, pendigitalan, AI serta pengoptimuman prestasi aset.

-- BERNAMA