KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Legasi Tun Abdul Razak Hussein sebagai arkitek pembangunan negara terus menjadi pedoman dalam usaha membina Malaysia yang lebih maju, bersatu dan sejahtera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata sumbangan Perdana Menteri kedua itu dalam memperkukuh perpaduan, membangunkan sistem pendidikan kebangsaan, membasmi kemiskinan serta memajukan masyarakat luar bandar terus memberi kesan kepada kehidupan rakyat hingga kini.
“Ada pemimpin yang dikenang kerana zamannya dan ada pemimpin yang pemikiran serta legasinya terus hidup merentas zaman. Almarhum Tun Abdul Razak Hussein adalah antara negarawan yang meninggalkan asas begitu besar dalam pembinaan negara kita.
“Bagi saya, itulah legasi sebenar seorang negarawan. Bukan hanya apa yang berjaya dibina pada zamannya, tetapi bagaimana pemikiran dan perjuangannya terus menjadi pedoman kepada generasi selepasnya dalam membina sebuah negara yang lebih maju, bersatu dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar segala jasa dan khidmat bakti Allahyarham kepada agama, bangsa dan negara terus dikenang sepanjang zaman.
Dikenali sebagai bapa pembangunan Malaysia, Tun Abdul Razak dikenang atas sumbangannya dalam memacu kemajuan, perpaduan dan sosioekonomi negara seperti memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rancangan Buku Hijau bagi meningkatkan pengeluaran makanan serta Penyata Razak 1956 yang menjadi asas kepada pembentukan sistem pendidikan kebangsaan.
Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri perasmian Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: "Arkitek Pembangunan Negara Bangsa" di Memorial Tun Abdul Razak di sini yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program itu dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia dan Yayasan Tun Razak, sebagai sebahagian daripada usaha mengenang dan mengangkat legasi negarawan negara agar terus dikenali serta dihayati oleh generasi masa kini dan akan datang.
-- BERNAMA